"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Jika Jais terus diam,hubungan Muslim-Kristian terjejas,pelampau gembira.

Jika Jais terus diam, hubungan Muslim-Kristian terjejas, pelampau gembira

Apa dah jadi dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais)? Ia seperti kes “tangkap muat” apabila mahu menjelaskan tindakannya menyerbu pejabat di Damansara Kim pada Khamis lepas di mana 300 Bible berbahasa Malaysia dan Iban dirampas.
Ketika semakin ramai pemimpin dan peramal berusaha untuk menjelaskan tindakan Jais yang terus berdiam diri, ia semakin menjelaskan tindakannya lebih berbau politik berbanding undang-undang.
Insiden terakhir ini juga mendedahkan sekali lagi bagaimana percanggahan dan masalah menyelubungi kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam mengendalikan isu penggunaan kalimah Allah.
Ia juga menunjukkan betapa besarnya perbezaan dalam memahami Islam bukan sahaja di kalangan umat Islam bahkan pihak berkuasa agama yang sepatutnya menjadi pengawal kepada amalannya.
Apabila dikaji kes ini dan Enakmen 1988 Selangor yang digunakan oleh Jais untuk serbuan itu, ia telah mendedahkan banyak masalah, kata pakar undang-undang kepada The Malaysian Insider.
Profesor Madya Dr Azmi Sharom berkata, enakmen yang menghalang bukan Islam menggunakan 35 perkataan Arab termasuk Allah dan Nabi adalah untuk menghalang usaha umat Islam menukar agama.
Ini adalah bukti pada tajuk enakmen itu sendiri: Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan kepada penyebaran di kalangan Muslim) Enakmen 1988.
"Buku yang terletak dalam bangunan bukan bukti pendakyahan, hatta jika ia mengandungi perkataan Allah," kata Azmi dari Universiti Malaya itu.
Untuk membuktikan pendakyahan, ia mesti ada tindakan seseorang memberikan Bible itu kepada yang lain yang membayangkan maksud untuk mendakyahnya, katanya.
Tetapi tindakan begitu juga boleh dicabar.
"Sesiapa saja boleh pergi ke kedai buku dan membeli Bible. Muslim juga boleh membaca Bible jika dia mahu membuat kajian mengenainya. Jadi bagaimana Jais mahu membuat penilaian?" tanya beliau.
Azmi juga mendedahkan bahawa tidak ada undang-undang di peringkat persekutuan yang menghalang penggunaan perkatan Allah dalam buku agama Kristian.
Keputusan yang dibuat pada 14 Oktober oleh Mahkamah Rayuan mengesahkan tindakan Menteri Dalam Negeri untuk menghalang penggunaan perkataan Allah oleh Kristian hanya untuk Mingguan Katolik, Herald sahaja.
Sebagaimana yang dijelaskan oleh pelbagai pihak termasuk ahli politik dan peguam, Bible daripada semua bahasa termasuk bahasa Melayu/Indonesia masih boleh diimport untuk digunakan di negara ini.
Perkataan Allah tersiar dalam Bible berbahasa Melayu yang banyak digunakan oleh orang Bumiputera Kristian di Malaysia Timur, yang bersembahyang dalam bahasa Melayu.
Juga, tidak jelas adakah Jais sebagai pihak yang mengawal selia amalan Islam, mempunyai kuasa ke atas bukan Islam, kata Azmi.
"Berdasarkan laporan yang ada, Jais tidak mempunyai waran pun untuk membuat serbuan itu."
Bagi pemimpin PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof (gambar), tindakan Jais ketika membuat serbuan itu merosakkan nama baik Islam di kalangan bukan Islam.
"Melainkan Jais memberikan bukti yang jelas bahawa agama Kristian telah disebarkan kepada umat Islam, keseluruhan serbuan ini melambangkan kebodohan dan tidak tahu apa-apa."
Dan daripada membuat promosi tentang Islam yang sebenar, pihak berkuasa yang sepatutnya mengawal kepercayaan, telah menyebabkan kekeliruan lebih besar di kalangan umat Islam sendiri.
"Bila berlaku salah faham, pihak pelampau akan mengambil kesempatan," kata Mujahid yang juga ahli parlimen Parit Buntar itu.
Mujahid sebelum ini pergi ke merata gereja bagi menjelaskan peraturan berkaitan nama Allah ke atas Herald tidak membayangkan Islam yang sebenar.
Beliau dan lain-lain pemimpin PAS menjelaskan Allah tidak boleh menjadi perkataan yang eksklusif untuk umat Islam sahaja.
Bagaimanapun beliau dan partinya bersetuju dengan Perlembagaan Persekutuan yang menghalang pendakyahan ke atas umat Islam.
Sebagaimana Jais mesti membuat penjelasan tentang serbuannya, pemimpin Kristian bagi Mujahid juga perlu menegaskan bahawa mereka tidak berniat untuk menukarkan agama orang Islam.
Selagi motif Jais tidak jelas, ia menjejaskan nama baik Islam dan bukannya Kristian.
Ketika komuniti Kristian terkejut, umat Islam seperti Azmi, Mujahid dan pendakwah terkenal Dr Mohd Asri menggelengkan kepala mereka kerana tidak percaya perkara ini boleh berlaku.
Pihak yang gembira dengan semua episod ini adalah kumpulan pelampau kanan kata Mujahid yang berselindung di belakang Perkasa, Isma, Jati dan lain-lain pihak dalam Umno.
Walaupun kumpulan ini bertegas tindakan menghalang penggunaan nama Allah adalah untuk melindungi akidah, Mujahid berhujah tindakan itu lebih kepada menjaga kepentingan politik.
Sikap Mujahid dan PAS dalam isu Allah disokong oleh pelbagai ulama yang dihormati di seluruh dunia.
Penganut Kristian di Timur Tengah dan Indonesia terus boleh menggunakan nama Allah tanpa sekatan.
Adalah menjadi misteri mengapa pihak yang pakar seperti Jais dan menteri dalam kerajaan BN terus mengambil sikap berbeza daripada masyarakat dunia dalam penggunaan nama Allah.
Lagi pun, jika umat Islam di Malaysian masih boleh dikelirukan dengan penggunaan perkataan Allah oleh Kristian, apa sebenarnya yang mereka pelajari selama 11 tahun di sekolah rendah dan menengah?
Adakah perkara asas seperti ini tidak diajar secara wajib di dalam kelas mereka? Apakah setelah dewasa barulah mereka dapat mengetahui hubungan antara Islam dan lain-lain agama Abrahamik seperti Kristian dan Yahudi?
Dan jika orang Islam sangat lemah dalam agama mereka, bolehkah Umno – yang mendakwa bertanggung jawab memberikan pendidikan agama selama lebih 50 tahun – mendakwa mereka telah menunaikan tanggungjawab untuk menjaga kepentingan Melayu dan Islam?
"Jika mereka sememangnya tidak tahu, kita boleh terangkan kepada mereka (pihak berkuasa agama).
"Tetapi saya fikir motif mereka (di sebalik tidak selesaikan isu Allah setuntasnya) dipengaruhi oleh emosi dan politik," kata Mujahid. – 4 Januari 2014.