"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Injil bahasa Afghan dirampas

KABUL 5 Mei - Tentera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan sejumlah kitab Injil dalam bahasa-bahasa Afghan yang dikirim kepada seorang askar AS di sebuah pangkalan di Afghanistan telah dirampas dan dimusnahkan.

Tindakan itu diambil untuk memastikan askar tidak melanggar peraturan yang melarang mereka menyebarkan agama Kristian atau agama lain kepada penduduk tempatan, kata seorang jurucakap tentera AS hari ini.

Tentera AS menafikan askarnya cuba menyebarkan agama Kristian kepada penduduk Afghan, selepas siaran televisyen Al Jazeera menunjukkan sekumpulan askar dalam sebuah kelas pengajian Injil di pangkalan berkenaan bersama-sama sejumlah Injil yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa tempatan, Pashto dan Dari.

Peraturan tentera AS melarang askar yang masih bertugas, termasuk semua yang berpangkalan di Iraq dan Afghanistan, daripada terlibat dengan sebarang kegiatan penyebaran agama.

"Saya boleh mengesahkan injil-injil yang ditunjukkan dalam siaran Al Jazeera itu sebenarnya telah dipungut oleh paderi tentera dan kemudian dimusnahkan. Kitab-kitab itu tidak diedarkan," kata jurucakap tentera, Mejar Jennifer Willis di pangkalan udara Bagram, utara Kabul.

Pegawai tentera menjelaskan, Injil berkenaan dikirim kepada seorang askar yang menganut mazhab Kristian evangelis oleh pihak gerejanya di AS.

Askar tersebut membawanya ke kelas pengajian Injil itu di mana rakaman dibuat.

Sebarang percubaan untuk mempengaruhi penduduk Islam supaya menukar agama merupakan satu jenayah di Afghanistan. - Reuters