"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Perlembagaan tidak beri Jais kuasa ke atas penganut agama lain,kata Majlis Penguam

Perlembagaan tidak beri Jais kuasa ke atas penganut agama lain, kata Majlis Peguam

Majlis Peguam membidas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) susulan serbuan di premis Persatuan Bible Malaysia (PBM) semalam, yang disifatkan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Presidennya, Christopher Leong (gambar) berkata serbuan agensi agama tersebut melangkaui kuasa yang diperuntukkan kepada mereka.
"Ia sangat membimbangkan apabila badan agama atau agensi penguatkuasaan sesebuah agama mempunyai kuasa ke atas agama-agama lain.
"Ini tidak seperti yang dicerminkan dalam Perlembagaan Persekutuan," kata Leong dalam satu kenyataan hari ini.
Leong turut menegaskan asas tindakan yang diambil Jais,  Enakmen No.1 Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 khususnya seksyen 9 hingga 13, bertentangan dengan perlembagaan.
Seksyen tersebut menggariskan seseorang bukan Muslim telah melakukan kesalahan sekiranya menggunakan kalimah Allah yang dilarang penggunaannya oleh penganut agama lain sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Enakmen 1988 tersebut.
"Peruntukan yang diragukan tersebut juga bertentangan dengan perlembagaan kerana ia tidak disokong oleh Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan," tegas Leong.
Menurut Leong lagi, Artikel 11 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan mana-mana agama untuk dikawal selia sendiri yang bertujuan bagi memelihara keharmonian beragama.
"Maka itu, ia adalah bertentangan untuk Jais sebuah badan agama Islam atau agensi penguatkuasa untuk mempunyai bidang kuasa, kuasa dan naungan ke atas agama lain atau individu yang mengamalkan agama lain.
"Tindakan ini nyata sama sekali bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan," kata Leong lagi semasa menjelaskan mengenai batas kuasa yang dimiliki oleh Jais.
Leong juga berkata rampasan dan tangkapan dua individu di premis PBM adalah salah di sisi undang-undang dan perlembagaan.
"Tindakan Jais tersebut adalah provokasi yang tidak wajar dan tidak munasabah," terang beliau lagi.
Tengahari semalam, Jais menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia (BSM) di Damansara Kim dan merampas kira-kira 320 Bible berbahasa Melayu dan Iban.
Dua pegawai BSM iaitu pengerusinya Lee Min Choon dan Sinclair Wong diarahkan ke Balai Polis Damansara untuk diambil keterangan mereka dan hanya dilepaskan dua jam kemudian. – 4 Januari 2014.