Tindakan pengerusi PKR Johor Datuk Chua Jui Meng yang menerbitkan potongan ayat al-Quran dalam tulisannya di Twitter untuk mengulas berhubung keputusan mahkamah mengenai kes penggunaan kalimah menerima kecaman ahli politik Melayu dan Islam termasuk PAS.
Setiausaha Dewan Ulama PAS Nik Zawawi Salleh dalam laporan akhbar Sinar Harian hari ini berkata, tafsir ayat al-Quran itu tidak harus digunakan sewenang-wenangnya tanpa merujuk golongan ulama.

“Penggunaan ayat atau tafsir al-Quran tidak boleh dipandang remeh sama ada individu itu Islam ataupun bukan Islam.

“Islam tidak pernah melarang orang bukan Islam untuk membaca al-Quran, cuma masalahnya tidak boleh sesuka hati menafsir al-Quran sekiranya tidak arif bahagian itu,” katanya seperti dipetik dalam laporan berkenaan.

Dalam tulisan di Twitter itu, Chua mempersoalkan sekiranya hakim Mahkamah Rayuan terlepas pandang potongan ayat dalam surah Al-Ankabut dan Al-Imran berhubung isu kalimah Allah itu.

Beliau menulis bahawa ayat 65 Surah Ali Imran itu menyebut bahawa: “Katalah hai ahli kitab marilah (berpegang) kepada 1 kalimat... bahawa tidak kita sembah kecuali Allah'.

Beliau juga menerbitkan semula tafsir Surah Al-Ankabut ayat 46 dalam bahasa Inggeris: 'we believe in the revelation...(to people of the Book) our God (Allah) & your God (Allah) is One & to Him we submit'.

Turut mengecam tindakan itu ialah naib presiden NGO pro-Melayu PERKASA, Datuk Zulkifli Noordin yang berkata Chua sepatutnya membaca semula keseluruhan ayat berkenaan untuk mendapatkan maksud sebenar.

Zulkifli juga mendakwa, ayat berkenaan membawa maksud yang berbeza kerana ia sebenarnya “menempelak orang Kristian”.

“Saya ingin ingatkan Chua Jui Meng supaya membaca kesemua ayat dalam Surah (Ali)-Imran bermula ayat 64 hingga 77, bukannya baca separuh sahaja.

'Al-Quran bukan seperti buku Doraemon yang boleh dibaca sesuka hati. Al-Quran perlu dibaca dengan tertib, sebenarnya dalam surah Al-Imran yang dibaca Jui Meng itu menempelak orang Kristian,” katanya.

Pemimpin Ulama Umno, Fathul Bari Mat Jahaya pula dipetik sebagai berkata, beliau sedia bersemuka dengan Chua untuk menjelaskan maksud sebenar ayat yang dipetik oleh bekas menteri tersebut.