"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Tiada pemenang dalam keputusan kalimah Allah kata pemimpin Borneo

Pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) di Borneo menyifatkan tiada pihak yang  menang selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan kumpulan Kristian dalam kontroversi penggunaan kalimah Allah.
Tan Sri Dr James Masing, menteri yang lantang bersuara dari Sarawak berkata keputusan itu menyaksikan Malaysia tewas daripada segi kebebasan beragama.
"Yang kalah di sini adalah Malaysia dan kebebasan beragama," kata menteri pembangunan tanah  Sarawak itu.
Katanya, kebebasan merupakan lambang toleransi di dalam negara selama  ini.
Beliau berkata, keputusan tersebut perlu disemak semula.
Seperti rakyat lain, Masing juga mengakui keliru sama ada keputusan halangan itu terpakai di Sabah dan Sarawak di mana Bible berbahasa Melayu dan Iban digunakan secara meluas.
"Terdapat penganut Kristian di Sarawak dan Sabah yang bekerja dan menetap di semenanjung.  Adakah mereka juga dihalang daripada menggunakan kalimah Allah dalam ibadat mereka.
"Adakah mereka akan dihukum apabila mengamalkan kepercayaan mereka seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan," katanya.
Masing berkata, sebarang pindaan ke atas Perlembagaan 1963 selepas pembentukan Malaysia tidak  boleh dibelakangi.
Katanya, pertikaian isu kalimah Allah adalah "pertelingkahan yang sukar diterima atas nama agama dalam sejarah dunia", sambil menegaskan keputusan berbeza dalam  isu tersebut membabitkan bukan Islam memberi kesan yang besar kepada Perlembagaan Persekutuan.
"Bagi saya, sebagai seorang bukan peguam, Perlembagaan Persekutuan adalah paling tinggi. Sebarang pindaan selepas Perlembagaan 1963 tidak boleh didahului," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Parti Pembaharuan Negeri (Star) Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata keputusan mahkamah semalam sebagai "memberi laluan kepada Islamisasi dalam negara".
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor itu berkata, ia adalah petanda Malaysia sedang  menuju ke arah negara Islam.
Jeffrey berkata, kenyataan kontroversi seperti Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Ikatan Muslimin  Malaysia (Isma) serta tindak-tanduk jabatan agama negeri dan kata-kata Menteri Di Jabatan  Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menolak Malaysia sebuah negara sekular adalah isyarat jelas Malaysia sedang menuju ke arah negara Islam.
"Ia hari yang sedih. Kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan kini  dibelakangkan," katanya.
"Kebebasan beragama dalam 20 perkara Perjanjian Malaysia terancam. Sungguh sedih memikirkan masa depan negara kita ini," katanya.
Jeffrey berkata, keputusan mahkamah tersebut lebih bermotifkan politik.
"Mereka (hakim) perlu lihat daripada sudut Perlembagaan dan hujah perundangan, bukan  pertimbangan politik," katanya.
Katanya, keputusan itu menunjukkan mahkamah gagal mempertahankan semangat Perlembagaan.
Bekas presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko), Tan Sri Bernard  Dompok juga kecewa dengan keputusan itu tetapi enggan mengulas lanjut bimbang dianggap menghina keputusan mahkamah.
"Saya kecewa dengan tindakan NGO yang memperbesarkan isu itu, komen saya tidak akan dicetak," katanya yang juga bekas menteri industri perladangan dan komoditi.
Sementara itu, Uskup Datuk Sr Thomas Tsen, yang juga presiden Lembaga Gereja Sabah yang meluahkan rasa tidak puas hati keputusan tersebut kini mempersoalkan kesahihan penyelesaian 10 perkara dengan kerajaan membabitkan Bible penganut Kristian yang  mengandungi kalimah Allah.
Tsen berkata, walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata keputusan Mahkamah Rayuan tidak akan beri kesan di Sabah dan Sarawak, keputusan terkini isu tersebut tidak akan menjamin janji awal itu.
Datuk Cyrus Das, salah seorang penasihat perundangan untuk gereja memberitahu wartawan di  luar mahkamah "jangkauan larangan itu melangkaui bukan kepada Herald saja seperti disuarakan oleh Malanjum (Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard  Malanjum)".
Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan untuk tidak membenarkan rayuan pihak gereja selepas empat daripada tiga panel hakim bersetuju menolak rayuan penggunaan kalimah Allah.
Panel hakim menolak permohonan gereja untuk merayu, dengan memetik Mahkamah Rayuan membuat  keputusan yang tepat untuk melarang penggunaan kalimah tersebut dalam terbitan mingguan  Katolik, Herald.
Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria yang mengetuai panel tujuh hakim itu berkata, Presiden  Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Ketua Hakim Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Suriyadi Halim Omar berkongsi pendapat sama.
Tiga hakim lain adalah Malanjum, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zainun Ali dan Tan Sri  Jeffrey Tan Kok Hwa memutuskan kebenaran merayu diberi kepada Gereja Katolik. – 24 Jun, 2014.