"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Pertarungan Kristian guna Allah boleh dibangkit dalam kes di Borneo,kata penguam

Perjuangan daripada segi undang-undang untuk penganut Kristian di Malaysia bagi menggunakan kalimah Allah dalam ibadat dan pendidikan agama mereka belum berakhir, kata peguam.
Peguam berkata, dua kes yang dibawa penganut Kristian dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill dan Sidang Injil Borneo (SIB) cawangan Sabah boleh mengubah pentadbiran undang-undang dan isu membabitkan perlembagaan.
Mereka berkata demikian untuk menjawab persoalan sama ada kedua-dua kes itu boleh bergantung kepada satu lagi perbicaraan Mahkamah Persekutuan bagi menjawab sejauh mana bukan Islam boleh menggunakan perkataan Arab untuk merujuk kepada Tuhan.
Bulan lalu, Mahkamah Tinggi menolak usaha SIB untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar rampasan buku agama pada 2007.
Hakim Datuk Zaleha Yusof berkata beliau terikat dengan penghakiman Mahkamah Rayuan dalam kes akhbar Katolik mingguan Herald yang memutuskan kalimah Allah bukan intipati utama penganut Kristian.
Minggu depan, Zaleha akan mendengar satu lagi kes sama ada Kementerian Dalam Negeri secara munasabah atau tidak merampas cakera padat (CD) Kristian milik Jill Ireland di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada 2008.
Jill Ireland membawa CD berkenaan yang dibelinya di Indonesia untuk kegunaan peribadi, bertajuk "Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah", "Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah" dan "Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah".
Isnin lalu, Mahkamah Persekutuan dengan majoriti 4-3 menolak permohonan Gereja Katolik merayu ke atas kes Herald untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.
Ketua Hakim Tun Ariffin Zakaria yang menulis penghakiman majoriti berkata pandangan yang disuarakan hakim Mahkamah Rayuan berdasarkan isu teologi hanya kenyataan sampingan sahaja.
Salah seorang hakim yang menolak keputusan itu, Datuk Zainun Ali mengkritik Mahkamah Rayuan dan mereka sepatutnya terbatas kepada isu undang-undang.
Zainun berkata, pertikaian tentang kepercayaan agama adalah di luar bidang kecekapan dan undang-undang hakim berkenaan.
Peguam K Shanmuga berkata, secara umumnya kenyataan yang dibuat dalam permohonan kebenaran tidak terikat kuasanya dengan mahkamah rendah.
"Kenyataan Arifin, di mana mewakili pandangan tiga hakim senior dan Zainun sangat mendorong peguam untuk menyakinkan mahkamah lebih rendah kedua-dua kes memiliki merit untuk didengar," katanya.
Peguam Abdul Shukor Ahmad berkata, penghakiman bertulis oleh hakim Mahkamah Persekutuan akan menjadi keputusan undang-undang yang bakal diikuti mahkamah rendah untuk dipatuhi atau dipertimbangkan.
"Kedua-dua kes tersebut adalah tapak terbaik mendorong Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk mendengar isu perundangan dan perlembagaan, peluang yang dilepaskan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Herald," katanya.
Beliau berkata, isu agama dalam perjanjian 18 perkara (Sarawak) dan perjanjian 20 perkara (Sabah) yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia pada 1963 boleh dibangkitkan dalam mahkamah.
Shukor berkata, cubaan menyemak semula kes Herald sebelum satu lagi perbicaraan Mahkamah Persekutuan adalah terpencil disebabkan perkara terdahulu.
"Usaha terbaik adalah membangkitkan semua isu menerusi Mahkamah Tinggi ke Mahkamah Persekutuan," katanya.
Susulan keputusan Isnin lalu, Putrajaya berkata penganut Kristian Sabah dan Sarawak boleh menggunakan perkataan Allah seperti dijanjikan dalam penyelesaian 10 perkara dan keputusan Mahkamah Rayuan hanya terhad kepada Herald.
Bagaimanapun, peguam memberitahu The Malaysian Insider keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyokong keputusan Mahkamah Rayuan memberikan kuasa menteri dan pihak berkuasa agama untuk menghalang kebebasan beragama kepada bukan Islam.
Ia termasuk menghentikan individu bukan Islam dan kumpulan daripada menggunakan kalimah Islamik dan bersuara.
Sementara itu, peguam Annou Xavier berkata SIB memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan ke atas keputusan Zaleha kerana tidak memberikan kebenaran untuk semakan kehakiman.
SIB cuba mendapatkan pengisytiharan daripada mahkamah kumpulan itu mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan Allah dalam semua bahan dan penerbitan agama.
Mereka juga mahu pengisytiharan kumpulannya yang majoriti bertutur bahasa Melayu berhak memiliki, menyimpan, menggunakan dan mengimport bahan termasuk yang mengandungi kalimah Allah. – 27 Jun, 2014.