"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Siri jelajah Umno ancaman paderi,kata penguam.

Siri jelajah Umno ancam nyawa paderi, kata peguam

Paderi Katolik Lawrence Andrew kini dalam bahaya selagi siri jelajah Umno Selangor terus melabelkannya sebagai penghasut menggunakan kalimah Allah kepada bukan Islam di Selangor, kata peguam.
Peguam bersetuju selain mensasarkan Andrew, tujuan sebenar jelajah itu adalah untuk mengancam komuniti Kristian daripada menggunakan kalimah Allah.
Sebahagian daripada 30 siri jelajah itu dirancang Umno Selangor dan beberapa pertubuhan Islam bertujuan memberi penjelasan perundangan di Selangor berhubung larangan penggunaan kalimah Allah di negeri itu.
Andrew menjadi sasaran apabila berkata Kristian akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mereka yang menggunakan bahasa Melayu dengan bersandarkan kepada Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan setiap agama menguruskan hal urusan keagamaan sendiri.
Peguam, Annou Xavier, berkata kenyataan Andrew itu berdasarkan kata sepakat komuniti Kristian, maka beliau tidak boleh diancam.
“Kita tidak boleh memisahkan Paderi Lawrence dengan komuniti Katolik. Ia seperti kita tidak boleh mendakwa Umno dalang jelajah itu dan bukan perdana menteri,” katanya.
Annou berkata, kes mahkamah kalimah Allah tidak dicetuskan oleh Andrew tetapi pejabat Ketua Biskop Kuala Lumpur yang mewakili komuniti Katolik.
Oktober tahun lalu, tiga panel Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Putrajaya mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi bagi menghalang mingguan Katolik, Herald menggunakan kalimah Allah kerana ia bukan sebahagian dan amalan agama Kristian.
Namun, pihak gereja membuat rayuan terhadap keputusan itu dan mahu meneruskan ke peringkat Mahkamah Persekutuan.
Sehubungan itu, Annou menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghentikan jelajah itu kerana ia tidak membawa sebarang makna.
“Malah, jelajah itu membawa kesan buruk seperti syak wasangka, kemarahan dan memberi persepsi yang salah tentang komuniti Kristian. Ia turut mengancam keselamatan paderi Lawrence dengan memfokuskan kemarahan masyarakat kepadanya,” katanya.
Pengasas bersama Lawyers for Liberty, Eric Paulsen, berkata jelajah itu bukan sahaja mengancam penganut Kristian secara umum tetapi kepada Andrew.
Katanya, paderi Katolik itu digunakan sebagai alat bagi mengaburi tujuan realiti jelajah itu yang mahu melancarkan perang terhadap penganut Kristian menggunakan kalimah Allah.
Paulsen menggesa Umno dan pertubuhan Islam mencontohi kepimpinan perdana menteri dan tidak mengambil keputusan sendiri.
Katanya, meskipun pihaknya mempromosikan kebebasan bersuara tetapi siri jelajah membawa isu sensitif ini hanya menimbulkan kemarahan dan menyebarkan maklumat salah.
Peguam itu berkata, khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung kes kalimah Allah “penuh dengan penipuan”.
“Bagaimana jika ada yang mendengarnya meletakkan undang-undang di tangan sendiri? Kita mengamalkan kebebasan bersuara bukan kebebasan melakukan keganasan,” katanya.
Seorang lagi peguam, Syahredzan Johan mencadangkan kepada pihak berkuasa memantau siri jelajah itu bagi memastikan penceramah tidak menyebarkan kebencian dan memfokuskan kemarahan kepada Andrew.
Katanya, pemantauan itu tidak ubah seperti pemerhatian terhadap perhimpunan yang membantah dasar kerajaan.
“Jika mereka mendakwa Andrew ancaman kepada Islam dan negara, pihak tersebut melakukan kesalahan dan pihak berwajib perlu mengambil tindakan,” katanya.
Penceramah di siri jelajah Umno Selangor di Shah Alam berkata, pada Jumaat, fokus mereka kepada Andrew kerana menghasut penganut Kristian melanggar undang-undang.
Katanya, Andrew tidak mewakili pandangan majoriti penganut Kristian.
Andrew menjadi fokus kepada Umno Selangor yang mempertahankan undang-undang negeri melarang penggunaan kalimah Allah dan istilah lain seperti Baitullah, solat dan Kaabah oleh bukan Islam.
“Ini ditujukan kepada Andrew bukan kepada penganut Kristian lain. Tidak semua penganut Kristian bersetuju dengan Andrew. Selama ini umat Islam dan Kristian hidup bersama dengan aman damai. Mengapa Andrew membangkitkan isu ini,” kata Setiausaha Agung Jalur Tiga (Jati), Norman Toha.
Peguam Syariah dan pakar perundangan, Nizam Bashir, berkata tidak ada kecelaruan terhadap kenyataan Andrew terutamanya kalimah itu digunakan dalam perhimpunan gereja dan bukan untuk memurtadkan umat Islam.
Katanya, jika niat siri jelajah itu untuk mempertahankan Islam, penganjur gagal.
“Malah, mereka menyampaikan maklumat salah. Banyak ayat dalam Al-Quran mengatakan bukan Islam boleh merujuk tuhan sebagai Allah,” katanya.
Beliau menyifatkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas bible di Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) sebagai tidak wajar kerana tiada bukti mereka menggunakan kitab itu menyebarkan Kristian di kalangan umat Islam.
Ketegangan agama semakin memuncak apabila Jais membuat serbuan ke PBM yang menyaksikan penangkapan Pengerusi PBM, Lee Min Choon dan pengurusnya, Sinclair Wong.
Pertubuhan Islam juga mengadakan demonstrasi berhampiran gereja Klang bagi membantah perhimpunan gereja dalam bahasa Melayu menggunakan kalimah Allah.
Sebelum pilihan raya negeri Sarawak 2011, Putrajaya mempersetujui penyelesaian 10 perkara membenarkan Kristian di Sabah dan Sarawak menggunakan kalimah Allah dalam Al-Kitab dalam satu rundingan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala.
Andrew juga disiasat kerana menghasut setelah mempertahankan akan menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan berbahasa Melayu di gereja Selangor.
Kenyataan itu dikeluarkan setelah Jais mengumumkan akan menghantar surat kepada semua gereja di Selangor untuk tidak menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan dan penerbitan.
Minggu lalu, pemimpin gereja daripada pelbagai peringkat menyatakan solidariti mereka mempertahankan penggunaan kalimah Allah dalam perhimpunan di gereja menggunakan bahasa Melayu.
Bagaimanapun, Putrajaya masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi setelah penganut Kristian menantikan penjelasan daripada Idris. - 21 Januari, 2014.