"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Kini Putrajaya nasihat Herald langsung tidak guna kalimah Allah

Kini Putrajaya nasihat Herald langsung tidak guna kalimah Allah


Putrajaya memaklumkan akhbar mingguan Katolik, Herald agar tidak menggunakan kalimah Allah dalam apa-apa bahan bertulis seperti artikel atau surat sebulan selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan arahan Menteri Dalam Negeri mengharamkan perkataan itu dalam penerbitan bahasa Melayunya.
Surat makluman bertarikh 20 Januari itu, bertujuan menguatkuasakan sekatan penggunaan perkataan tersebut di dalam keseluruhan penerbitan.
Ketua Bahagian Penerbitan dan Kementerian Dalam Negeri, Hashimah Nik Jaafar mengesahkan notis berkenaan dikeluarkan kepada pengarang Herald Paderi Lawrence Andrew minggu lepas.
Beliau bagaimanapun menekankan, notis itu hanyalah nasihat, yang boleh diikuti pihak penerbit.
"Kami hanya memberi nasihat. Isu ini masih dalam perbicaraan di mahkamah. Justeru, mereka perlu menghormati keputusan Mahkamah Rayuan buat masa sekarang," Hashimah memberitahu The Malaysian Insider.
Beliau merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan pada bulan Oktober  tahun lepas yang membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan Herald menggunakan kalimah Allah dalam ruangan bahasa Melayunya.
Dalam keputusan itu, mahkamah mendapati bahawa kalimah Allah tiada kaitan atau sebahagian daripada agama Kristian.
Gereja Katolik memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Persekutuan, yang dijangka didengari pada 5 Mac.
Hashimah mendakwa penerbitan itu didapati menggunakan perkataan Allah dalam Herald melalui artikel daripada blog atau dalam surat kepada pengarang yang berbicara mengenai kontroversi tersebut.
"Ia boleh dilihat sebagai menghina mahkamah kerana kes itu belum lagi  didengar di Mahkamah Persekutuan," katanya.
Hashimah menegaskan bahawa kementerian tidak "marah" tetapi berharap gereja Katolik boleh menghormati mahkamah berhubung perkara ini.
"Mereka sudah membuat rayuan. Jadi mengapa mereka tidak menunggu keputusan itu terlebih dahulu?" kata beliau.
Tidak lama selepas isu Mahkamah Rayuan, Putrajaya menghentikan pengedaran 2,000 naskhah Herald di Sabah pada 25 Oktober.
Perintah "pemberhentian edaran” itu dipercayai disebabkan penggunaan kalimah Allah yang digunakan merujuk kepada komen dan artikel berikut keputusan mahkamah.
Kementerian Dalam Negeri menarik balik larangan dua hari kemudian semasa kekecohan orang awam dan campur tangan beberapa ahli politik Kristian Malaysia Timur.
Kementerian mempertahankan tindakannya, dan berkata ia berbuat demikian untuk memastikan kalimah "Allah" tidak muncul dalam terbitan terbaru mingguan berkenaan dan menjelaskan bahawa hanya 53 naskhah dirampas oleh Jabatan Kawalan Teks Al-Quran dan Penerbitan kementerian berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala (gambar) berkata, beliau percaya punca keseluruhan isu adalah akibat salah faham.
Beliau berkata tidak akan lagi ada masalah berhubung pengedaran mingguan tersebut di Sabah dan Sarawak walau apapun keputusan mahkamah.
"Penganut Kristian di Sabah dan Sarawak boleh terus menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam ibadah dan penerbitan mereka. Justeru, pengedaran mingguan Herald tidak menjadi masalah," beliau dipetik berkata.
Isu kalimah Allah meletus pada 2009 apabila Kementerian Dalam Negeri mengugut membatalkan permit Herald menggunakan perkataan Allah untuk merujuk kepada Tuhan.
Tindakan ini mendorong Gereja Katolik yang diketuai  Biskop Emeritus Tan Sri Murphy Pakiam, memfailkan permohonan semakan kehakiman dengan menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, memohon pengisytiharan keputusan kementerian melarang penggunaan perkataan "Allah" dalam Herald sebagai tidak sah. – 5 Februari, 2014.