"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

ISMA antara NGO Islam tulen yang taksub tindakan kasar jais? - Yasir Tamizi

RENCANA   

ISMA antara NGO Islam tulen yang taksub tindakan kasar Jais? - Yasir Tamizi

JANUARY 07, 2014
Tindakan kasar Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas 351 naskah Bible versi bahasa Melayu di Petaling Jaya pada Khamis lalu terus menimbulkan reaksi yang bercampur-campur di kalangan pemimpin masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan sehingga ke hari ini.
ISMA, sebuah NGO yang berasaskan Islam, menyatakan kekesalan dengan tindakan umat Islam yang hadir ke gereja untuk membantah rampasan Bible oleh Jais. Ini merujuk kepada tindakan Datin Paduka Marina Mahathir yang bersama dengan himpunan bantahan dan kenyataan Dr Mujahid Yusuf Rawa yang mempersoalkan tindakan kasar dilakukan oleh Jais.
ISMA juga percaya sikap umat Islam yang menyokong bantahan tersebut menjadi punca kepada perpecahan umat Islam di dalam negara. ISMA berpandangan bahawa bantahan ke atas tindakan Jais merampas naskhah Bible, akan mengelirukan orang awam atau orang awam akan terus menerima hujah bantahan kerana dianggap tiada pertimbangan syarak.
Sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan, Gabungan Bertindak Malaysia, yang juga dianggotai pertubuhan bukan kerajaan yang berasaskan Islam, seperti Pertubuhan Ikram Malaysia dan Islamic Renaissance Front, disebut oleh ISMA sebagai NGO liberal (terbuka), kerana Ikram dan IRF yang bersama-sama dalam Gabungan Bertindak Malaysia mendesak supaya:
1) Jais memulangkan naskhah Bible yang dirampas, juga pengakuan maaf atas tindakan yang melangkaui batas kuasa.
2) Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (MPPN) yang baru ditubuhkan mengeluarkan kenyataan segera terhadap kegilaan kepolitikan agama yang menjadi penghalang ke arah pembentukan Malaysia yang lebih adil.
3) Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mencela unsur pelampau di dalam partinya, yang dengan jelas berkait dengan kumpulan yang menyalakan permusuhan agama.
Reaksi sebegini oleh sebuah NGO yang dikatakan berasaskan Islam, menimbulan persoalan tentang jenis fahaman yang dianuti ISMA sebenarnya, kerana persoalan umat Islam melalui kenyataan Tuan Ibrahim Tuan Man, Datin Paduka Marina Mahathir dan Dr Mujahid Yusuf Rawa terhadap kekerasan Jais, yang merampas naskhah Bible daripada Persatuan Bible Malaysia, dilihat ISMA sebagai punca perpecahan umat dan mengelirukan orang awam.
Adakah ini fahaman segelintir ekstremis ajaran sesat yang taksub kepada pendekatan kasar lagi bodoh, yang akhirnya boleh membawa fitnah kepada Islam? Atau adakah ini fahaman Islam yang tulen? Yang jelas, persoalan ini sama sekali tidak meringankan beban sara hidup kita, yang makin menekan akibat kenaikan harga minyak, gula dan tarif baru-baru ini. – 7 Januari, 2014.
* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.