Keputusan larangan penggunaan kalimah Allah di Malaysia oleh non-Muslim perlu difahami dengan pertimbangan teori ilmiah dan realiti maslahat semasa.

Teori ilmiah 1 

Penggunaan kalimah Allah oleh non-Muslim bukanlah suatu yang asing, bahkan dalam al-Quran terdapat ayat yang menggambarkan musyrikin kekuasaan Allah menciptakan langit dan bumi.

Realiti maslahat semasa: Penggunaan kalimah "god" dan selainnya yang tidak menggunakan kalimah Allah menjadi tradisi dan identiti sesuatu agama tersebut di Malaysia. 

Situasi ini dipengaruhi oleh penggunaan bahasa kebiasaan sesuatu bangsa. Misalnya, Melayu banyak dipengaruhi bahasa Arab. 

Maka realiti dalam al-Quran merujuk kepada hujah dan teori ilmiah. Namun, realiti masyarakat Malaysia merujuk kepada tradisi turun temurun.

Teori ilmiah 2
Allah merupakan Tuhan bagi sekalian alam, tidak kira sama ada manusia atau bukan manusia, Melayu atau tidak, Muslim atau non-Muslim. 

Penyaksian umat Islam membenarkan ini dengan menafikan segala ketuhanan yang ada melainkan ketuhanan yang merujuk kepada Allah.

Realiti maslahat semasa: Tembok kebangsaan yang menjarakkan sesuatu bangsa melebihi agama menjadikan penggunaan kalimah Allah sesuatu yang asing oleh non-Muslim di Malaysia. 

Lemahnya dialog antara agama di Malaysia juga merupakan faktor kepelbagaian agama yang wujud di Malaysia mempunyai tembok yang memisahkan, bahkan dakwah tidak sampai ke penganut selain Islam.

Teori ilmiah 3 
Penggunaan kalimah Allah di negara Arab tidak mencetuskan kekeliruan umat kerana kefahaman bahasa yang mampu membezakan antara kalimah yang khusus dan umum. 

Allah menurut umat Islam adalah kalimah yang khusus yang memiliki sifat-sifat ketuhanan yang disebutkan oleh Islam. 

Adapun kalimah Allah menurut non-Muslim Arab merujuk kepada kalimah umum yang menerangkan "tuhan" yang menurut kepercayaan mereka.

Realiti maslahat semasa: Kelemahan masyarakat Islam di Malaysia yang lemah dalam penggunaan bahasa Arab menjadikan kalimah Allah difahami dari sudut khas. 

Bahkan bahasa Melayu menjadikan kalimah Allah bersifat khas bukan umum. Justeru, penggunaan yang berbentuk umum akan menyebabkan kecelaruan kefahaman di kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Penyelesaian terbaik setakat ini:

(1) Pencegahan awal untuk menjaga keimanan masyarakat Islam dari kecelaruan dalam kefahaman yang melibatkan akidah.

(2) Realitinya masyarakat Islam di Malaysia masih lemah tahap penguasaan ilmu agama dan kefahaman dalam bahasa Arab, maka perlunya penjagaan yang menyekat pengaruh Non-Muslim ke atas umat Islam.

(3) Kelemahan yang ada dalam masyarakat Islam di Malaysia mesti dipertingkatkan dengan penguasaan ilmu agama, bahasa Arab dan kemantapan ilmu dalam berdakwah

(4) Kerajaan perlu menyusun langkah yang lebih efisyen yang menjadikan dialog antara agama sebagai medium dakwah ke atas non-Muslim di Malaysia.


MUHAMAD ZUHAILI SAIMAN graduan Universiti al-Azhar dalam bidang syariah Islam.