ULASAN Menurut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, kebebasan beragama dari segi menganuti dan mengamal agama tertakluk kepada Fasal (4), iaitu untuk mengembangkannya.

Kebebasan beragama di Malaysia didefinasikan sebagai menguruskan hal ehwal agamanya sendiri; menganut dan mengamal, menubuhkan dan menyenggarakan institusi-institusi bagi maksud agama atau khairat; dan memperoleh dan mempunyai harta dan memegang dan mentadbirnya mengikut undang undang.

Perkara ini juga harus dibaca bersama Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni, di mana-mana bahagian persekutuan. 

Perkara kedua yang menjadi persoalan penting mengenai larangan penerbitan menurut Akta Penerbitan da Percetakan 1984 serta kawalan permit penerbitan mengikut regulasi dan perintah kawalan teks agama. 

Kesemua perkara ini kini diteliti berikutan kes The Herald. Mahkamah Tinggi mengakui bahawa Perkara 3(1) menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi tetapi kerajaan tidak boleh melarang The Heraldmenggunakan kalimah Allah. 

Mahkamah juga memutuskan bahawa bawah Perkara 10, The Herald mempunyai hak perlembagaan untukkebebasan beragama serta bersuara untuk menggunakan kalimah Allah. 

Mahkamah juga menjawab persoalan Perkara 11, yang mana The Herald mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah bagi tujuan pengajaran dan pendidikan jemaat Katolik dalam agama Kristian. 

Namun, persoalan mula timbul selepas Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi atas alasan istilah ‘ Allah’ bukan ‘intergral atau pokok’ dalam agama Kristian. 

Dan Perintah larangan sah atas untuk mengelak kekeliruaan dan keselamatan awam. 

Biarpun keputusan ini dikatakan hanya tertumpu kepada The Herald dengan keputusan kabinet pada 2009 untuk membenarkan pengunaan istilah ‘ Allah’ di Sabah dan Sarawak, namun wujud pelbagai tanda tanya, spekulasi dan taksiran yang melangkaui kes mahkamah tersebut. 

Pelbagai pihak risau akan kesan keputusan ini sebagai permulaan tindakan penguatkuasaan dan bakal memberi kesan kepada kebebasan agama di Sabah, Sarawak dan juga di Malaya.

Ada juga pihak yang mengambil kesempatan untuk mempolitikkan isu ini dengan ugutan politik sehingga mempersoalkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Pesekutuan Malaysia.

Tidak terkecuali spekulasi penguatkuasaan terhadap kitab agama Sikh yang jelas tidak terlibat dalam kemelut ini.

Asal usul

Kontroversi kes The Herald ini berasal usul dari benua Borneo. 

Ia ekoran penguatkuasaan regulasi Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran bawah Kementeriaan Keselamatan Dalam Negari semasa pemerintahan Pak Lah. 

Regulasi ini pada tahun 2008 telah membuka lembaran baru debat kebebasan agama apabila Bible bahasa Iban dirampas ekoran pengunaan istilah ‘ Allah’ dalam teks yang sepenuhnya dalam bahasa Iban. 

Perkara yang sama juga dilaporkan dalam kes Alkitab yang memaksa kerajaan mengkaji semula perkara ini dari konteks 20 Perkara Pembentukan Malaysia bersama Sabah dan Sarawak. 

Pada 2009, kabinet memutuskan untuk membenarkan penggunaan istilah ‘Allah’ mengikut Perkara 1 yang menyatakan bahawa segala perundangan mengenai agama Islam dalam Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Borneo Utara. 

Namun persetujuan ini bercanggah dari aspek bahasa. Perkara 2 menyatakan Bahasa Melayu sebagai bidang kuasa Persekutuaan dan Bahasa Inggeris menjadi bahasa rasmi di benua Borneo. 

Namun kepincangan dari aspek bahasa dan pembudayaan bahasa serta kemelut hak agama, bersuara dan ekspresi pihak Kristian dalam mengulas agama Kristian dalam bahasa Melayu mencetuskan konflik baru menjangkaui kes The Herald. 

Permasalahan ini juga di lihat terjadi dalam konteks globalisasi dan pengurangan jurang informasi dan debat berikutan kemunculan Internet dan media sosial serta kebanjiran parti parti politik dari benua Malaya di Sabah dan Sarawak. 

Kepentingan politik nasional serta pembentukan agenda nasional parti parti tersebut juga dilihat sebagai kegagalan kepimpinan di benua Borneo. 

Pihak politik lebih cenderung untuk membuat keputusan politik tanpa mengambil kira cabaran baru dunia globalisasi dan pembangunan masyarakat di negeri negeri tersebut. 

Pihak politik juga mengabaikan proses migrasi penduduk Sabah dan Sarawak ke Malaya dan sebaliknya.

Ia kini membuka debat baru bahawa bidang kuasa Malaya melanggar hak asal mereka di bumi Malaya dan juga persoalan bahasa dan akidah orang Malaya di benua Borneo. 

Perkara ini juga menjadi penting buat kepimpinan agama yang melihat penambahan penduduk beragama Islam di Sabah dan Sarawak yang membuka semula kotak ‘pandora’ – akidah yang menjadi tanggungjawab semua umat Islam tanpa batas sempadan.

Persoalan umum
Dalam kes The Herald, wujud dua persoalan, iaitu penggunaan istilah ‘Allah’ di sebuah majalah sebaran umum yang terikat dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Dan kedua, penggunaan istilah ‘ Allah’ yang merupakan kalimah suci dalam maksud dan erti kata yang berbeza dalam Bible Bahasa Melayu dan bahasa orang asal Sabah dan Sarawak.

Untuk perkara pertama, rayuan ke Mahkamah Persekutuan bakal menjawab soal perundangan dan perlembagaan mengenai Perkara 10 dan 11 Perlembagaan Persekutuan. 

Namun dalam erti kata persoalan kedua, perbincangan rakyat mengenai pengamalan turun temurun dan pembudayaan bahasa serta pengunaan istilah ‘ Allah’ dalam erti kata yang bercanggah dan persoalan akidah menjadi perkara utama.

Dari segi pembudayaan bahasa, perkara pokok yang timbul berkaitan hukum semantik dan persetujuan umum secara universal akan maksud dan rujukan kepada istilah ‘Allah’. 

Hukum semantik konsep dan leksikal adalah pengukur kajian istilah dari segi  konteks dan maksud dari pelbagai sudut. 

Pengkajian semantik sesebuah istilah juga tidak terbatas dengan bukti penggunaan dan amalan tetapi juga mengambil kira proses evolusi maksud dan penggunaan dari sudut budaya setempat mengikut masa dan faktor geografi.

Bahasa dan istilah mempunyai maksud dan erti kata yang berbeza dari segi konteks geografi dan masa. 

Misalnya penggunaan istilah ‘keling’ biarpun pada satu masa dahulu diterima sebagai istilah amalan sosial biasa namun hari ini istilah itu membawa maksud sensitif dan menghina.

Umumnya rata-rata bersetuju dan menerima bahawa istilah ‘ keling’ sebagai negatif dan dielakkan atas kepentingan hubungan etnik dan kerharmoniaan.

Maka, dalam membuat satu keputusan sosial, masyarakat umum terikat dengan kelaziman dan maksud umum secara universal dalam konteks semasa menurut evolusi maksud sesebuah istilah. 

Persetujuan umum dan pemahaman istilah ‘Allah’ dalam konteks semasa dan maksudnya menurut hukum semantik leksikal adalah selari hanya dalam erti kata Al-Quran. 

Penggunaan istilah ‘Allah’ di benua Arab juga melalui pelbagai evolusi dan penyelarasan mengikut hukum semantik dari segi maksud semasa. 

Pada 2013, penterjemah Bible 'Evengelist’ Wycliffe Bible Translators dan Summer Institute of Linguistics (SIL) bersetuju mengenai implikasi sosial pengalihan bahasa secara langsung dan mencadangkan penyuntingan Bible. 

Istilah ‘God the Father’ ditukar kepada Allah dan ‘Son of God’ ditukar kepada ‘ Messiah’.

Perkara ini juga diperakui setelah berlaku kes pembunuhan di sebuah pusat penerbitan Bible di Matalya Turki pada 2007, ekoran tuduhan memurtadkan orang Islam. 

Penggunaan istilah mengikut maksud umum juga dibuat secara sosial oleh pihak mubaligh Kristian.

Bagaimanapun istilah ‘Jesus Christ’ dalam Bible bahasa Melayu tidak digantikan dengan ‘Isa’ secara meluas. 

Kepincangan pihak Kristian untuk tidak menggunakan istilah ‘Isa’ kerana ‘Isa’ dalam maksud Islam berlainan dari segi peristiwa pensaliban dan konsep waris tuhan. 

Penggantian istilah popular sebagai pengganti kepada istilah ‘ Jesus’ adalah ‘Yesus’ yang membawa maksud yang lebih sesuai dan tepat dalam konteks Kristian.

Amalan bukan hak mutlak
Jika dilihat dari segi amalan wujud satu persoalan penting mengenai kebebasan agama sama ada mutlak atau terkawal. 

Pada November 2005, dalam kes pemakaian hijab, Leyla Sahin lawan Turki, Mahkamah Hak Asasi Eropah memutuskan bahawa kebebasan agama tidak melindungi segala tindakan yang dibuat atas motivasi atau inspirasi agama. 

Mahkamah merujuk kepada kes Kokkinakis pada 1992  yang memutuskan, dalam masyarakat demokratik yang majmuk di mana pelbagai agama hidup berharmoni, adalah perlu untuk membuat regulasi terhadap kebebasan agama atau kepercayaan.

Ia untuk menyelaras kepentingan dan kepercayaan semua pihak supaya dihormati. 

Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah pada 1993, dalam kes Kokkinakis lawan Greece, mahkamah memutuskan bahawa kerajaan mempunyai hak untuk meregulasi atau menghalang tindakan tindakan dakwah yang tidak wajar, dalam maksud hak untuk menyatakan agama, seperti terkandung dalam Perlembagaan Greece.

Melihat keputusan mahkamah ini, perkara prinsip yang dapat dipelajari, sesebuah istilah mengalami evolusi maksud yang perlu dilihat dari kaca mata semasa dan pembudayaan istilah dalam konteks setempat. 

Perkara ini juga harus dipisahkan dari erti kata budaya Arab yang melalui proses evolusi maksud dan reformasi mengikut kerangka dan isu benua Arab. 

Masyarakat umum juga harus peka bahawa kebebasan agama bukan mutlak dari segi amalan di ruang awam serta kepercayaan secara harmoni dan atas dasar hormat menghormati.


K SHAN seorang aktivist sosial dan Pengerusi Institut Kebangsaan Intergrity Pilihan Raya dan Demokrasi (NIEI).