"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Kuasa akhiri polemik kalimah Allah ada pada Menteri Dalam Negeri, kata bekas peguam

Kuasa akhiri polemik kalimah Allah ada pada Menteri Dalam Negeri, kata bekas peguam negara

Menteri Dalam Negeri boleh mengakhiri kontroversi kalimah Allah dengan membatalkan arahan kementerian itu pada 1986 yang melarang penggunaan kalimah Allah dalam semua penerbitan bukan Islam, kata bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman.
Larangan kementerian pada 1986 itu turut merangkumi perkataan Kaabah, Solat dan Baitullah.
Abu Talib berkata, apabila larangan itu dibatalkan, arahan larangan kalimah Allah kepada mingguan Katolik akan menjadi satu arahan akademik.
Katanya, tanggapan pelbagai pihak yang mencetuskan kekeliruan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan tidak akan berhenti sehingga Menteri Dalam Negeri campur tangan dan membatalkan larangan itu.
"Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu membatalkan arahan yang dibuat oleh Tan Sri Syed Hamid Albar bagi menyelesaikan isu yang sedang hangat diperkatakan dan menjadi tumpuan antarabangsa," katanya kepada The Malaysian Insider.
Bekas Peguam Negara itu berkata, beliau mendapati keputusan mahkamah minggu lalu mencetuskan kekeliruan pelbagai pihak.
Abu Talib berkata, sebagai permulaan, semua pihak perlu patuh kepada kenyataan dikeluarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kota Kinabalu yang memberi jaminan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak boleh menggunakan kalimah itu.
"Perdana Menteri sebagai ketua eksekutif menyelesaikan isu perundangan secara politik dan penggunaan kalimah itu perlu dipanjangkan ke Semenanjung," katanya yang menambah kenyataan Najib perlu dikira sebagai satu jaminan.
Katanya, jika saranan Perdana Menteri diguna pakai maka rakyat Malaysia boleh hidup dengan harmoni.
Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, salah seorang daripada tiga hakim yang membenarkan rayuan Putrajaya melarang Herald menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya itu menyebut dalam penghakimannya bahawa terdapat arahan daripada Kementerian Dalam Negeri pada 5 Disember 1986 melarang penerbitan bukan Islam menggunakan empat perkataan iaitu Allah, Kaabah, Solat dan Baitullah.
Herald memulakan penerbitannya sejak 1994 dan kementerian boleh memberikan peringatan dan surat tunjuk sebab kepada penerbit jika gagal mematuhi arahan itu.
Apandi dalam penghakimannya berkata, sebab larangan itu bagi mengelak kekeliruan pelbagai agama dan jika ia dibenarkan akan mengancam keselamatan negara dan orang awam.
Abu Talib berkata, penganut Kristian perlu dibenarkan menggunakan kalimah itu asalkan tidak disalah guna untuk menyebarkan kepercayaan mereka kepada umat Islam.
Katanya, tiada bukti ancaman kepada keselamatan negara apabila Putrajaya membenarkan Al-Kitab dibawa masuk ke Semenanjung dengan persefahaman 10 perkara yang dimeterai pada 2011.
Sejak 2011, Bible dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu atau Indonesia boleh diimport ke Malaysia dan dicetak di sini.
Abu Talib berkata, gereja boleh meneruskan rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan tetapi akan menjadi amalan akademik sekiranya Menteri Dalam Negeri boleh membatalkan penggunaan kalimah itu kepada Herald.
Editor Herald, Father Lawrence Andrew, berkata ia menenimbulkan kecelaruan selepas seminggu keputusan mahkamah, komen dan pandangan berbeza masih dibicarakan dan ini tidak membantu keadaan.
“Ramai yang keliru dan tidak memahami apa yang diperkatakan,” katanya.
Andrew berkata, pejabat Herald bahasa Melayu di Membakut, Sabah adalah pasukan yang bertanggungjawab dengan kandungan dan susun atur.
Katanya, Herald adalah terbitan mingguan dan terdapat penerbitan Katolik lain di Malaysia Timur iaitu Today’s Catholic, terbitan secara bulanan di Sarawak dan Katolik Sabah diterbitkan dua minggu sekali.
Beliau berkata, apabila Perdana Menteri mengumumkan keputusan mahkamah tidak terpakai di Sabah dan Sarawak, maka dua penerbitan ini tidak terjejas.
“Pendapat yang berbeza daripada pemimpin tidak membantu dan mencetuskan kekeliruan di semua tempat,” katanya.
Katanya, antara pendirian lain yang sering menjadi perbualan adalah perbezaan di antara Al-Kitab dan Herald kerana kedua-duanya boleh didapati di Internet.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail baru-baru ini berkata, kebenaran penggunaan kalimah Allah dalam Al-Kitab oleh Menteri Dalam Negeri tidak boleh disamakan dengan Herald kerana Al-Kitab digunakan di gereja untuk penganut Kristian.
“Herald pula adalah akhbar yang boleh didapati di Internet dan boleh dibaca oleh umat Islam dan bukan Islam,” kata Abdul Gani.
Andrew berkata, bible bahasa Melayu dan Indonesia boleh didapati di Internet.
“Cari sahaja di Google.
“Pakar guaman kerajaan pun terkeliru dengan kesan keputusan kalimah Allah,” katanya. – 23 Oktober, 2013.`