"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Roadshow Umno provokasi kemarahan umat Islam,kata ahli Parlimen Pakatan

Roadshow Umno provokasi kemarahan umat Islam, kata ahli Parlimen Pakatan


Sebanyak 30 roadshow “pendidikan” yang dirancang Umno mungkin bertujuan untuk mendapatkan sokongan untuk parti, tetapi ia hanya akan menyebabkan kemarahan dan kebencian terhadap bukan Islam, menurut pandangan para ahli Parlimen Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR).

Ahli Parlimen PAS Khalid Samad (gambar) bersama-sama Rafizi Ramli (PKR) dan Charles Santiago (DAP) berkata, ia adalah strategi Umno untuk mendapatkan semula sokongan daripada Melayu.
"Ini yang diingini Umno. Mereka mahu mewujudkan keadaan di mana umat Islam berasa diancam oleh orang bukan Islam," Khalid memberitahu The Malaysian Insider.
Rafizi yakin roadshow yang dianjurkan Umno akan lebih mengelirukan rakyat. Rafizi yang juga ahli Parlimen Pandan menambah: "Ia sengaja direka untuk membangkitkan kemarahan dan kebencian terhadap orang bukan Islam."
Semalam, Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar mengumumkan bahawa 30 roadshow  telah dirancang untuk "mendidik" umat Islam berkenaan kontroversi undang-undang negeri yang melarang penyebaran agama lain di kalangan umat Islam.
Roadshow berkaan akan melibatkan penyertaan 22 bahagian Umno di Selangor akan digunakan sebagai platform untuk mendidik umat Islam berkenaan peruntukan Enakmen 1988 Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Di kalangan umat Islam) undang-undang yang melarang bukan Islam di negeri tersebut daripada menggunakan kalimah Allah dan 34 perkataan bahasa Arab lain.
Yang pertama telah diadakan di Sekinchan malam tadi.
"Matlamat akhir Umno adalah untuk mewujudkan situasi di mana orang Islam akan berasa terancam," kata Khalid.
"Ia adalah permainan politik. Survival Umno bergantung kepada sama ada mereka boleh membuat orang Islam berasa mereka diancam.”
Beliau berkata, ini juga adalah cara Umno mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah-masalah lain dalam negara, termasuk kos sara hidup yang meningkat .
"Lupakan tentang rasuah, ketamakan dan urus tadbir yang buruk. Cara terbaik untuk mengalihkan perhatian rakyat adalah untuk melihat seolah-olah kita berperang dengan bukan Islam," katanya.
Santiago berkata Noh cuba untuk mendapatkan sokongan dengan menunjukkan bahawa beliau "lebih Islam daripada orang Islam yang lain".
"Dan kini dia hampir menjadi pelampau. Ia bukanlah mengenai isu Allah sebenarnya tetapi tentang survival politiknya (Noh). Sokongan terhadapnya berkurangan sejak 2008," kata Ahli Parlimen Klang.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata bahawa roadshow itu hanya akan lebih "mengelirukan" orang ramai.
"Malah Noh juga keliru dengan isu ini. Seorang lelaki yang keliru hanya akan menyebabkan lebih huru-hara dan ini akan membawa bencana kepada rakyat.
“PR juga perlu melakukan roadshow mereka sendiri untuk menjelaskan kepada rakyat dakwaan Noh dan menenangkan keadaan mengenai isu Allah,” katanya .
"Kita perlu mencabar dan bersaing. Jika tidak Noh akan mendapat platform percuma untuk mengelirukan rakyat," kata beliau sambil menambah bahawa PR perlu juga mengesahkan pendirian mereka mengenai isu kalimah Allah.
Khalid menyeru umat Islam di negeri ini tidak terlalu mudah ditipu oleh Umno kerana ia semata-mata "permainan politik" bagi parti itu.
"Ia adalah permainan politik dan mereka kini mengambil strategi lebih ekstrem. Orang Islam tidak sepatutnya terpedaya," katanya.
Noh sebelum ini berkata, antara penceramah bagi roadshow tersebut termasuklah Datuk Zulkifli Noordin daripada Perkasa, Ustaz Rusdi Long dan beberapa peguam Syariah yang akan "menerangkan perkara berkenaan dari perspektif undang-undang dan agama".
"Lebih banyak roadshow akan diadakan bagi mendidik umat Islam tentang mengapa bukan Islam dilarang menggunakan kalimah Allah di sini (Selangor). Kita akan mempunyai dua penceramah bagi setiap roadshow," kata Noh .
Ahad lalu, Noh telah mengetuai perarakan kira-kira 1,000 ahli Umno di Hulu Selangor untuk memprotes penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristian. Pada akhir perarakan, mereka membakar patung Paderi Rev Lawrence Andrew, yang merupakan editor mingguan Katolik, Herald.
Andrew sebelum ini telah berkata bahawa penganut Katolik di Selangor akan terus menggunakan perkataan Allah dalam perjumpaan gereja setiap Ahad. Ini adalah selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata bahawa mereka akan menulis kepada gereja-gereja di Selangor untuk berhenti menggunakan perkataan berkenaan.
Kenyataan beliau telah diambil sebagai mencabar perintah yang dikeluarkan oleh Sultan Selangor di mana bukan Islam di negeri itu dilarang menggunakan perkataan Allah. – 17 Januari, 2014.