"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Perjuangan gereja guna Allah belum berakhir,kata pegawai PBB

Perjuangan gereja guna Allah belum berakhir, kata pegawai PBB

Perjuangan orang bukan Islam khasnya gereja mendapatkan hak menggunakan kalimah Allah di Malaysia masih belum berakhir, kata pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sambil  mencadangkan orang Islam sederhana dan intelektual bersatu membantu usaha pihak gereja.
Pelapor Khas PBB mengenai kebebasan agama dan kepercayaan Heiner Bielefeldt berkata, ramai orang Islam percaya keputusan mahkamah itu merosakkan kredibiliti Islam.
"Majoriti umat Islam bersetuju ia melemahkan Islam dengan menjadikan kalimah Allah sebagai hak peribadi Islam saja," katanya ketika ditemubual melalui telefon dari Jerman.
Ulama Islam di dalam dan seluruh dunia mengkritik pengharaman itu, menegaskan perkataan itu mendahului Islam dan perkataan itu bermaksud Tuhan dalam bahasa Arab.
Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dan dikenali penyokong sentiasa mempunyai jawapan bagi segala persoalan, adalah salah seorang yang mengkritik pengharaman itu.
Beliau sebelum ini berkata, selagi kalimah Allah digunakan untuk merujuk kepada "Kuasa Tertinggi", orang bukan Islam boleh menggunakan perkataan itu.
"Jadi ia sebenarnya adalah bukan satu isu. Orang Islam percaya kepada satu Tuhan. Jadi bagaimana kita boleh mengatakan Tuhan anda adalah berlainan daripada saya?" katanya.
Ahli Parlimen PAS Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa juga melawat kira-kira 30 buah gereja di seluruh negara dengan mesej "kehidupan yang aman dan Allah adalah Tuhan semua makhluk  serta menggalakkan dialog antara agama."
Aktivis Islam yang lantang, Dr Ahmad Farouk Musa yang mengetuai pertubuhan Islam bukan kerajaan, Islam Renaissance Front, dalam komen Oktober lalu berkenaan sekatan undang-undang mengenai penggunaan kalimah Allah, berkata:"Cara umat Islam dilayan di sini keterlaluan. Ia tidak masuk akal apabila berfikir jika agama lain menggunakan kalimah Allah, umat Islam akan memeluk agama lain."
Aktivis Melayu lain yang juga secara terbuka tidak bersetuju dengan larangan itu termasuk Datin Paduka Marina Mahathir, yang muncul di sebuah gereja di Klang untuk memperlihatkan solidariti dengan Kristian berhubung kontroversi penggunaan kalimah Allah, dan Zainah Anwar, pengasas bersama Sisters in Islam, yang menggalakkan hak sama rata untuk wanita, hak asasi manusia dan keadilan.
Bielefeldt berkata perjuangan menggunakan kalimah Allah bukan isu Katolik tetapi kebebasan beragama.
"Kebebasan beragama adalah hak semua manusia. Ia hak asasi manusia, hak universal dan kerajaan tidak boleh mengharamkan penggunaan kalimah Allah," katanya.
Beliau berkata, pada mulanya larangan penggunaan kalimah Allah dalam mingguan Katolik, Herald tidak dikenakan oleh mahkamah tetapi oleh Kementerian Dalam Negeri.
Bielefeldt berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun yang menegakkan pengharaman yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Tindak balas saya dan orang lain ialah bagaimana ini boleh berlaku, ia ganjil, pelik dan benar-benar tidak boleh diterima," katanya.
"Malah, ini bukan menyalahi hak asasi manusia, tetapi pelanggaran yang jelas tentang hak asasi manusia,” katanya.
Dia mengaku tidak mengetahui ada keputusan mahkamah serupa di mana-mana negara lain yang mengharamkan penggunaan kalimah berkenaan untuk orang bukan Islam.
Beliau berkata, orang Kristian di dunia Arab menggunakan kalimah itu sejak beribu tahun lalu.
"Jika anda membaca Perjanjian Baru dalam bahasa Arab, Isa adalah anak Allah, kerana Allah bukan nama Tuhan Islam tetapi satu konsep generik bagi Tuhan," katanya.
Bielefeldt juga bimbang kerana belum mendapat jawapan surat yang dihantar kepada kerajaan Malaysia pada November lalu, meminta penjelasan dan menyuarakan kebimbangan mengenai larangan tersebut.
Surat itu disokong oleh Pakar Bebas berkenaan isu minoriti PBB, Rita Izsak dan Pelapor Khas PBB mengenai kebebasan bersuara, Frank La Rue.
"Saya masih menunggu jawapan, dan berharap ini bukan keputusan akhir kerajaan.
"Ia juga tidak boleh  menjadi keputusan akhir badan kehakiman," katanya, merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Jun yang menafikan permohonan gereja untuk mencabar larangan Kementerian Dalam Negeri itu.
Ini adalah kali kedua Bielefeldt terlibat dalam isu nama Allah. Beliau mengeluarkan satu kenyataan akhbar di Geneva akhir tahun lepas yang menggesa kerajaan Malaysia membatalkan larangan ke atas Herald.
Dalam kenyataan itu, bersama-sama Bielefeldt, Izsak dan La Rue, memberi amaran kes Allah itu akan memberi implikasi kepada kumpulan minoriti di Malaysia.
Bagaimanapun, beliau tidak bimbang negara lain akan mencontohi Malaysia dan mengharamkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.
"Saya tidak fikir banyak negara akan melaksanakannya kerana ia tidak munasabah, ia tidak akan menjadi popular di dunia Islam kerana larangan itu benar-benar merosakkan kewibawaan Islam.
"Saya yakin ia tidak akan menjadi contoh kepada negara Islam lain untuk mengikutinya," katanya.
Pelapor khas berkata, beliau berharap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengambil pendirian berhubung larangan itu kerana jika tidak, mereka akan menghadapi masalah dengan rangkaian institusi hak asasi manusia antarabangsa.
Bielefeldt juga membangkitkan perkara berkenaan insiden rampasan Al-Kitab dalam bahasa Melayu dan Iban oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), mengatakan ia mewujudkan suasana ketegangan.
Beliau berharap rakyat Malaysia menghargai dan menerima semangat kepelbagaian negara yang digambarkan pada masa lalu dan perkembangan ini membimbangkan.
"Terdapat warisan menghargai kepelbagaian yang perlu dikembalikan semula dan saya melihat ini sebagai potensi untuk Malaysia membetulkan perkembangan pelik sejak akhir-akhir ini," katanya. – 6 Julai, 2014.