"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Akhbar Rusia dakwa Malaysia undur dalam program keserderhanaan

Akhbar Rusia dakwa Malaysia undur dalam program kesederhanaan

Pertikaian berhubung penggunaan perkataan Allah antara umat Islam dan juga komuniti bukan Islam bukan sahaja menjadi perdebatan hangat di negara ini, malah mendapat perhatian media negara Komunis seperti Rusia.
Rusia Post berkata, tindakan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merampas kitab Bible berbahasa Melayu adalah petanda kerajaan Malaysia berpaling ke belakang daripada program kesederhanaan.
Akhbar itu mendakwa, di sebalik usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempromosikan kesederhanaan dan 1Malaysia, langkah melarang penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam menyukarkan perkara itu dilaksanakan.
"Bagaimanapun, perbezaan pendapat dalam kepimpinan dalam menyampaikan mesej kesederhanaan dan kewujudan semakin meningkat, dengan umat Islam mengambil pendekatan eksklusif terhadap isu sensitif antara agama.
"Isu itu dilihat oleh pemerhati luar sebagai pertikaian semantik, namun kontroversi ini bakal menyaksikan tercetusnya ketegangan antara komuniti Melayu, Cina, dan India dan diprovokasi," memetik laporan akhbar berkenaan.
Dalam artikel berkenaan, Rusia Post berkata, walaupun Malaysia merupakan sebuah negara dengan fahaman Ahli Sunnah Waljamaah, mufti-mufti di negara ini "mengancam" penganut Syiah.
Malah, mereka melaporkan pihak berkuasa agama turut berjaya mengarahkan pemilik surau beragama Islam dari Singapura merobohkan surau di resort miliknya kerana membenarkan penganut Buddha menjalankan upacara keagamaan di dalamnya.
"Dengan hubungan perkauman dan keagamaan yang begitu rapat di Malaysia, tekanan dan polisi eksklusiviti oleh pihak berkuasa agama adalah resepi untuk ketidakseimbangan kaum," kata akhbar itu.
Jais sebelum ini menyerbu pejabat Persatuan Bible Malaysia (PBM) dan merampas lebih 300 Bible berbahasa Melayu dan Iban sekaligus menyaksikan isu kalimah Allah menjadi perhatian umum.
Tindakan itu turut menyaksikan kerajaan negeri Selangor kemudiannya menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Jais berkenaan dipinda dengan menetapkan mereka perlu mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri sebelum melakukan sebarang serbuan melibatkan perkara sensitif. – 10 Januari, 2014.