"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Dap gesa polis siasat semua pencetus ketegangan,bukan Paderi Lawrence saja

DAP gesa polis siasat semua pencetus ketegangan, bukan Paderi Lawrence sahaja

DAP hari ini mengecam Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana hanya melakukan siasatan ke atas Pengarang Herald, Paderi Lawrence Andrew meskipun banyak individu lain yang boleh disabitkan mengikut Akta Hasutan.
Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua, berkata siasatan polis itu jelas menunjukkan sikap pilih kasih kerana terdapat pemimpin lain mengeluarkan kenyataan lebih kontroversi, berbaur hasutan malah berbahaya.
“Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyatakan bahawa halal darah peserta perhimpunan Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) pada 31 Disember lalu berasaskan konsep “bughah”.
“Begitu juga dengan beberapa pemimpin Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) seperti Datuk Zulkifli Noordin yang mempermainkan dewa Hindu dan kesucian Sungai Gangga serta Datuk Ibrahim Ali yang mengancam mahu membakar Al-Kitab, namun tiada tindakan ke atas individu ini di bawah Akta Hasutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, Lawrence dipanggil polis bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya dalam The Malaysian Insider yang mempertahankan gereja di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah berdasarkan apa yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Peguamnya, Francis Pereira berkata, Lawrence disiasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan.
"Mereka soal siasat berkenaan apa yang saya katakan dan saya memberikan penjelasan berhubung perkara itu. Saya jelaskan kepada mereka kami menggunakan perkataan Allah dalam buku Doa Harian, yang juga petikan daripada Bible berbahasa Melayu sejak sekian lama," kata Lawrence ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam.
Pua berkata, Lawrence sudah menunjukkan bukti bahawa kalimah Allah digunakan dalam Al-Kitab sejak ratusan tahun dahulu di Malaysia tanpa ada halangan dan kontroversi.
Katanya, Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menyatakan “semua adalah sama di sisi undang-undang dan mendapat perlindungan yang sama dalam undang-undang”.
“Berdasarkan peruntukan itu, tiada jaminan pengecualian kepada sesiapa berdasarkan agama, kaum, keturunan atau tempat kelahiran jika melakukan jenayah termasuk membabitkan hasutan.
“Kami menggesa PDRM bertindak secara adil dan saksama terhadap sesiapa juga dan tidak berdasarkan agama, kaum dan keturunan,” katanya yang turut menyifatkan siasatan polis ke atas Lawrence hanya akan mengeruhkan hubungan antara kaum di Malaysia.
Semalam, bekas peguam negara, Tan Sri Abu Talib Othman mahu Mahkamah Persekutuan mengadakan sidang prosiding berhubung isu Allah pada kadar segera supaya satu keputusan muktamad terhadap perkara itu dapat diambil dan “menghalang ketidakadilan”.
Beliau berkata, isu itu amat penting kepada masyarakat awam dan Mahkamah Persekutuan perlu mengambil tindakan segera dan bukannya melihat kejadian yang berlaku membentuk isu berkenaan.
Abu Talib berkata, kunci kepada masalah semasa itu ialah keputusan daripada Mahkamah Persekutuan.
Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan sepatutnya mempercepat perbicaraan kes itu kerana tiada penangguhan penghakiman di Mahkamah Rayuan yang mengenepikan perintah Mahkamah Tinggi.
Katanya, isu itu semakin sukar kerana ia dipolitikkan berikutan kurangnya kepimpinan yang tegas. – 8 Januari, 2014.