"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Bible dipulangkan jika selari dengan "10 perkara"

6:35PM Jan 8, 2014

Bible dipulangkan jika selari dengan '10 perkara'


Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) perlu mendapatkan pengesahan dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung status Bible berbahasa Melayu yang dirampasnya daripada Persatuan Bible Malaysia (BSM) sebelum ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, KDN bertanggungjawab memastikan sama ada Bible itu selari dengan penyelesaian 10 perkara.

Penyelesaian kabinet itu antaranya membenarkan pengimportan, penggunaan dan percetakan Bible dalam bahasa kebangsaan.

Khalid berkata, Selangor mempunyai Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 yang menghalang penggunaan nama Allah dalam penulisan, penerbitan, pengucapan awam dan kenyataan.

"Sekiranya KDN berpuas hati penerbitan kitab-kitab ini memenuhi Penyelesaian 10 Perkara, kerajaan negeri akan mengarahkan JAIS untuk memulangkan semula kitab-kitab tersebut kepada BSM," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Khalid selepas mempengerusikan mesyuarat exco Selangor yang amat panjang hari ini, selama kira-kira 8 jam.

Khalid juga berkata Selangor akan terus memastikan titah Sultan dan undang-undang dijaga di samping bekerjasama dengan bukan Islam bagi memastikan mereka hidup dalam harmoni dan bertoleransi.

"Kerajaan negeri menghormati hak kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan dan akan meneruskan usaha mewujudkan masyarakat yang saling menghormati di samping menerima agama Islam sebagai agama rasmi dan peranan Sultan Selangor sebagai ketua agama Islam," kata beliau.

Januari tahun lalu, Khalid mengumumkan dasar Selangor menyokong enakmen tersebut di samping titah Sultan yang mahu perkataan Allah tidak digunakan dalam konteks agama selain Islam.