"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Mahkamah Persekutuan tangguh permohonan rayuan kes kalimah Allah pada Mac

Mahkamah Persekutuan tangguh permohonan rayuan kes kalimah Allah pada Mac

Permohonan Gereja Katolik untuk mendapatkan kelulusan dalam pengunaan kalimah Allah ditangguhkan pada Mac bagi membolehkan lima hakim Mahkamah Persekutuan mendengar sebutan kes tersebut.
Wakil peguam gereja, S Selvarajah berkata, mahkamah menetapkan 5 Mac depan sebagai tarikh baru seperti dimaklumkan oleh pendaftar Mahkamah Persekutuan.
Bulan lalu, pendaftar Mahkamah Persekutuan yang bertemu semasa pengurusan kes menetapkan tarikh lebih awal iaitu pada 24 Februari.
"Kami diberitahu sesi pendengaran bagi permohonan tersebut dijadualkan semula memandangkan terdapat beberapa hakim yang sepatutnya mendengar kes tersebut tidak dapat hadir pada 24 Februari," kata Selvarajah.
Di bawah Akta Kehakiman Mahkamah, Ketua Hakim Negara diamanahkan dengan panel hakim untuk mendengar sebutan mengenai isu tersebut sebelum dibawa ke Mahkamah Persekutuan.
Penuntut dalam kes sivil di hadapan Mahkamah Persekutuan mesti mendapatkan kelulusan sebelum sesuatu rayuan tersebut boleh didengar.
Pada 12 November, barisan peguam gereja telah menyerahkan 26 soalan kepada Perlembagaan persekutuan, undang-undang pentadbiran serta kuasa mahkamah untuk membenarkan Menteri Dalam Negeri melarang penggunaan perkataan teologi itu.
Kemelut kalimah Allah bermula pada 2008 apabila Herald dilarang menggunakan perkataan itu oleh Kementerian Dalam Negeri.
Gereja Katolik kemudian mencabar larangan itu dan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 berpihak kepada mereka yang membenarkan mereka menggunakan perkataan itu dalam terbitan mingguannya.
Putrajaya membuat rayuan dan berjaya memusingkan semula keputusan itu apabila Mahkamah Rayuan pada Oktober lalu memutuskan bahawa “Allah bukan sebahagian daripada keimanan Kristian”.
Mahkamah Rayuan juga menegaskan bahawa Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan tepat melarang penggunaan perkataan itu dalam Herald untuk melindungi keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Penganut Kristian membentuk kira-kira 9% daripada populasi rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 2.6 juta orang.
Hampir dua pertiga daripada mereka adalah kaum Bumiputera dan kebanyakannya berada di Sabah dan Sarawak, dan biasanya menggunakan bahasa Malaysia dan bahasa suku masing-masing ketika mengamalkan agama mereka, termasuk menggambarkan Tuhan sebagai Allah dalam doa serta kitab suci mereka.
Selain kaum Bumiputera yang beragama Kristian di Malaysia timur, ada golongan Orang Asli Kristian yang kini berpindah ke Semenanjung untuk menetap dan bekerja yang biasanya turut menggunakan bahasa Malaysia ketika bersembahyang.  – 15 Januari, 2014.