"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Bukan Islam tidak perlu patuh titah Diraja: Perkasa gesa penguam ditahan

Bukan Islam tidak perlu patuh titah Diraja: Perkasa gesa peguam ditahan

Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa) menggesa penahanan peguam berhubung kenyataan yang mendakwa  masyarakat bukan Islam tidak perlu patuh kepada mana-mana titah pemerintah negeri atau fatwa yang digariskan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa, Dr Shamsuddin Moner, berkata tindakan peguam berkenaan menghina ketua negara dan keputusan Mahkamah Rayuan selain mendesak kerakyatan peguam tersebut dilucutkan kerana tidak menghormati titah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.
"Jelas kepada kita bahawa titah Sultan Selangor,  Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Yang di-Pertuan Agong yang berkata kalimah Allah hanya eksklusif kepada kaum Islam sebagai satu bentuk penegasan keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan.
"Ia juga dilihat sebagai salah satu bentuk kawalan pencegahan demi menyelamatkan akidah umat Islam daripada dikelirukan oleh gereja dalam cubaan memurtadkan penganut agama Islam," katanya kepada The Malaysian Insider.
Ahad lalu, Sultan Kedah yang juga Yang di-Pertuan Agong bertitah, kalimah Allah merupakan hak eksklusif kepada penganut agama Islam dan penganut agama lain dilarang menggunakan perkataan itu sebagai reaksinya dalam polemik penggunaan kalimah Allah.
Sebagai reaksi kepada titah Diraja itu, peguam berkata Malaysia merupakan sebuah negara sekular dan bukan negara Islam.
Oleh itu, bukan Islam tidak perlu mematuhi mana-mana titah dikeluarkan pemerintah negeri atau fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan.
"Justeru, titah Yang di-Pertuan Agong dalam isu kalimah Allah bukan hanya atas kapasiti sebagai Ketua Agama Islam tetapi sebagai ketua negara yang patut difahami oleh masyarat negara ini seperti dalam Perlembagaan," kata Shamsuddin.
Katanya, kenyataan peguam itu juga seperti membuat pengisytiharan menderhaka secara terbuka ke atas Yang di-Pertuan Agong sekali gus menghina institusi fatwa yang ditubuhkan oleh majlis raja-raja Melayu.
Pada masa sama, Shamsuddin memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mencabar kesabaran pertubuhan tersebut terutamanya melibatkan kepentingan Melayu dan Islam.
"Sebagai umat Islam yang cintakan keamanan dan perpaduan kaum maka kami ingin beri amaran kepada  ekstremis Roman Katolik dan cauvinis Cina di negara ini supaya segera memohon maaf kepada Agong.
"Darah kami sedang membuak-buak dan sedia untuk tumpah di bumi ini demi mendaulatkan Islam dan memartabatkan maruah kaum pribumi," katanya.
Semalam, The Malaysian Insider melaporkan peguam, Edmund Bon sebagai berkata: “Titah dan fatwa tidak boleh digunakan kepada bukan Islam kerana ia melanggar hak perundangan dan beragama mereka.”
Pengasas Lawyers for Liberty, Eric Paulsen juga berkata, tidak ada apa yang boleh dilakukan oleh penguatkuasa agama terhadap bukan Islam.
“Apa-apa titah dikeluarkan, sama ada daripada Sultan atau Yang di-Pertuan Agong, tidak terpakai kepada bukan Islam,” kata Paulsen.
“Walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengeluarkan perintah, ia tidak memberi kesan kepada bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata, terdapat beberapa kes mahkamah dengan jelas menunjukkan Malaysia merupakan sebuah negara sekular.
“Islam bukanlah faktor utama yang boleh menafikan hak asasi rakyat Malaysia seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Rakyat Malaysia dijamin kebebasan bersuara, berekspresi dan beragama. Semua ini jelas ditulis dalam Perlembagaan Persekutuan,” kata Paulsen. – 21 Januari, 2014.