MP DAP Tony Pua berkata timbalan menteri dalam negeri Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar membuat kenyataan mengarut dalam isu penggunaan kalimah 'Allah' apabila menyebut bahawa pengharamannya hanya dikenakan ke atas majalah mingguan KatolikThe Herald.

“Timbalan menteri dalam negeri membuat kenyataan yang sangat mengarut, dengan memberikan alasan paling tidak logik bagi mempertahankan kerajaan dalam usagha untuk menyelamatkan undi Sarawaknya,” kata Pua dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan Wan Junaidi semalam yang menyebut bahawa kabinet membenarkan kalimah 'Allah' digunakan dalam Bible berbahasa Melayu di Sabah dan Sarawak.

Pua berkata, keputusan Mahkamah Rayuan hari Isnin lalu tidak menyatakan secara khusus bahawa kalimah 'Allah' tidak boleh digunakan dalam The Herald.

Sebaliknya, penghakiman itu menegaskan pengharaman ke atas penggunaan kalimah tersebut oleh kesemua agama lain.

Malah, katanya, pengerusi panel hakim berkenaan Datuk Seri Mohamad Apandi Ali menyatakan dengan jelas bahawa ancaman ke atas Islam dalam konteks negara ini ialah pengembangan agama lain ke atas pengikut Islam.

Tambahnya, para hakim berkenaan turut memutuskan bahawa kalimah 'Allah' tidak melengkapkan fahaman dan ajaran Kristian, khususnya dari aliran Gereja Roman Katolik.

Oleh yang demikian, kata Pua, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa kalimah tersebut tidak dibenarkan daripada digunakan dalam Bible dalam apa juga bahasa.

Menurut Pua, larangan itu akan menjejaskan berjuta-juta pengikut Kristian di Sabah dan Sarawak yang menggunakan Al-Kitab.

Katanya, Wan Junaidi dalam kenyataan kepada portal berita The Malaysian Insider tersebut juga menyebut bahawa keputusan mahkamah hanyalah undang-undang kes yang tidak dapat dikuatkuasa walaupun ia menjadi sebahagian dari undang-undang di negara ini.

“Sekali lagi, Wan Junai membuat putar belit tidak logik dalam hujahnya bahawa keputusan mahkamah 'biasanya tidak boleh dikuatkuasa'. Jika begitu, kenapa perlu pergi ke mahkamah untuk mendapat pengadilan?

“Adakah ia bermakna jika The Herald tidak mematuhi keputusan Mahkamah Rayuan maka tiada agensi yang boleh 'menguatkuasakannya' ke atas mereka?,” soalnya.