"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

"Konvoi Rumah Ibadat'baiki hubungan antara kaum dan agama

“Konvoi Rumah Ibadat” baiki hubungan antara kaum dan agama

The Malaysian Insider 

Sejak berdekad lamanya isu agama sering melanda negara sehingga mencetuskan ketegangan kaum.
Keadaan bertambah buruk apabila Perdana Menteri, Datuk Najib Razak melancarkan gagasan 1Malaysia yang kononnya diangkat sebagai penyelamat perpaduan negara.
Baru-baru ini rakyat dikejutkan kembali dengan isu kalimah Allah yang tidak dibenarkan penggunaannya oleh akhbar mingguan Katolik, Herald.
Keputusan itu bagaimanapun dipertikaikan pelbagai pihak dan menjadi isu antarabangsa.
Sebelum ini, timbul juga isu mengenai perobohan surau di Johor apabila pemilik pusat peranginan membenarkan sekumpulan sami Buddha mengadakan upacara sembahyang dalam surau tersebut.
Isu Sekolah Kebangsaan Seri Pristana iaitu guru besar meminta pelajar bukan Islam makan di bilik persalinan ketika bulan puasa selain pasangan yang memuat naik gambar mereka memakan babi dengan kapsyen “Selamat Berbuka Puasa” juga menjadi isu.
Di sebalik kepincangan tersebut wujud kumpulan yang terdiri daripada beberapa anak muda berbeza agama menggelarkan diri mereka Projek Dialog.
Bukan sebarang kumpulan kerana apabila meledaknya isu agama, kumpulan ini akan bertindak meneutralkan situasi dengan sisi pendekatan berbeza.
Konvoi Rumah Ibadat IV adalah antara program yang dianjurkan bertujuan memupuk perpaduan, persefahaman pertalian persaudaraan tanpa batas kaum dan agama.
Penganjurnya, Uthaya Sankar, berkata program Konvoi Rumah Ibadat memulakan perjalanan ke rumah ibadat seperti gereja, kuil dan masjid di sekitar Kuala Lumpur.
Beliau berkata, program tersebut sebenarnya sudah dijalankan sejak 2010 dan mereka lebih senang mengekalkan kumpulan dalam skala kecil.
"Kita sengaja menghadkan penglibatan kerana kita mahu lebih fokus dan cukuplah sekadar 10 atau 15 orang," katanya.
Katanya, idea Konvoi Rumah Ibadat ini timbul selepas kontroversi sekumpulan penunjuk perasaan yang membawa kepala lembu sebagai tanda protes membantah kerajaan negeri Selangor menukar lokasi kuil di Shah Alam.
"Bermula daripada kejadian itu, saya mula berbuat sesuatu. Ini terjadi bukannya kerana tiada kesefahaman, namun tindakan sesetengah pihak yang mempolitik isu agama," katanya.
Uthaya berkata, beliau percaya rakyat di negara ini sebenarnya masih lagi hidup dalam keadaan harmoni cuma wujud kumpulan pendesak yang mempengaruhi pemikiran mereka.
“Maka, menjadi tanggungjawab kami untuk memperbetul dan mengembalikan perpaduan ke landasan yang benar,” katanya.
Pengarang Urusan www.projekdialog.com, Ahmad Fuad Rahmat, berkata platform disediakan bagi rakyat terutama remaja meluahkan pandangan atau persoalan mengenai agama tanpa sekatan.
Malah, katanya, laman sesawang mereka yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar menerima respon memberangsangkan terutama daripada remaja.
"Saya memulakan laman sesawang ini dengan hanya empat kolumnis dan menerima geran daripada pertubuhan bukan kerajaan, Internews dari Amerika Syarikat.
"Sejak kami menulis, pelbagai pendapat dan reaksi yang diterima dan kami sedar terdapat permintaan dalam penulisan Bahasa Melayu memandangkan pengguna yang melayari website kami kebanyakannya Melayu," katanya.
Ahmad Fuad berkata, setiap isu yang diketengahkan menerima sekurang-kurangnya 20,000 capaian pengguna laman sosial.
Projek Dialog ini turut menerima sokongan ahli politik PAS, Datuk Mujahid Yusof Rawa yang dikenali sebagai pemimpin memperjuangkan hubungan antara penganut Kristian dan Islam. – 1 November, 2013.