- Tuan Ibrahim Tuan Man
Menurutnya, perbincangan itu boleh dilaksanakan bersama pimpinan agama dan politik agar keharmonian masyarakat dapat dipelihara.
"Apa yang menarik ialah pada dakwaan sesetengah pihak semata-mata untuk menakut-nakutkan orang Melayu bahawa jika penganut Kristian guna nama ALLAH, ada orang Islam yang terasa keliru.
"Bukankah, sepatutnya kekeliruan tersebut berlaku di kalangan masyarakat Kristian?
"Penyelesaian menyeluruh mesti dicari untuk membendung perkara ini daripada diambil kesempatan oleh mana-mana pelampau agama dan bangsa untuk memecahkan perpaduan antara rakyat Malaysia demi tujuan politik semata-mata," katanya pada satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.
Semalam dalam laporan media, PR tetap dengan pendirian kalimah ALLAH boleh diguna pakai oleh orang bukan Islam, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang berkata, Pas tetap dengan pendirian kalimah ALLAH tidak boleh diterjemahkan dalam bahasa lain.
"Pas ingin pertegaskan bahawa kalimah ALLAH adalah nama yang khas bagi Allah yang bermaksud hanya Dia sahaja ALLAH yang berhak disembah.
"Kalimah ini tidak boleh diterjemahkan dengan mana-mana bahasa di dunia," katanya lagi.