Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertahankan rampasan penerbitan Kristian The Herald, kerana ia dilakukan bagi tujuan kajian bagi memastikan kalimah 'Allah' tidak digunakan dalam terbitan terkini.

Menurut kementerian itu, langkah itu selaras dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan mingguan itu tidak dibenarkan menggunakan kalimah itu.

"Bagaimanapun setelah kajian dilakukan, didapati tiada penggunaan Kalimah Allah dalam penerbitan tersebut dan penerbitan tersebut dilepas untuk edaran pada hari ini, 27 Oktober 2013," menurut kenyataan di Facebook.

Ia juga menjelaskan, Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al Quran di KDN Sabah pada 25 Oktober 2013 telah menahan untuk tujuan kajian 53 naskhah tabloid The Herald

Sebelum ini dilaporkan 2,000 naskhah penerbitan gereja Roman Katholik dirampas pada hari itu di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.