ULASAN Berikutan kemelut yang dicatat sejarah, dan atas dasar budaya serta sejarah, kedua-dua pihak - kerajaan mahupun pembangkang - perlu memandang serius penggunaan istilah ‘Allah' di Borneo. 

Ini sejajar dengan budaya Melayu yang menerima kebudayaan serta cara hidup orang lain dalam konteks sesebuah negara. 

Orang Melayu juga dilihat lantang mempertahankan pihak gereja danThe Herald serta bersedia berkongsi istilah yang menjadi kalimah suci buat umat islam.
Namun, perkara ini tidak terjadi di kalangan Kristian mazhab Katolik yang berkeras untuk meneruskan usaha mereka tanpa kompromi atas dasar kebebasan agama. 

Perkara ini dilihat sebagai fenomena baru yang melawan arus sejarah reformasi dalam struktur kepimpinan gereja Katolik, seperti mana di Jepun, Amerika Selatan dan Fiji. 

Gereja Katolik yang mempunyai sejarah reformasi dan pengolahan semula isu isu interpretasi yang lebih sensitif, seperti konsep Adam dan Hawa serta kelahiran istimewa ‘Yesus, mengambil pendekatan dokmatik dan konservatif.
Isu The Herald tidak akan berakhir setelah kata putus Mahkamah Persekutuan. Keputusan mutlak mahkamah ini akan mencetuskan tindakan, kebimbangan dan kerisauan berterusan di dunia Internet.

Ia juga bakal mencetus sentimen anti-Borneo dan anti-Melayu yang lebih buruk. Lebih-lebih lagi bila ada ahli politik yang berusaha untuk mendapat undi melalui politik kebenciaan.
Penggunaan kalimah sebagai istilah harus dihormati sebagai rujukan kepada tuhan dalam al-Quran dan digunakan atas maksud umum dan semasa.

Ahli politik juga harus bertanggungjawab dan cuba memimpin rakyat untuk memahami serta mencari penyelesaian kepada pertembungan dua agama atas dasar pembinaan negara bangsa. 

Tindakan pembangkang yang mengeluarkan kenyataan bersifat ugutan dan dakwaan skandal kerajaan 
-- yang mengetengahkan isu pelaksanaan di Borneo - harus ditolak umum.

Penguatkuasaan bukan penyelesaian
Kebimbangan Kristian juga mempunyai asasnya. Penguatkuasaan dan kewujudan undang-undang yang tidak demokratik seperti Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan hanya membentuk budaya ketakutan. 

Penguatkuasaan mendadak tanpa sebarang dialog atau struktur hanya akan menimbulkan kegusaran. Ia akan mengundang kelompok politik aliran kanan untuk mempertahankan hak mereka. 

Dalam erti kata lain, tindakan jangka pendek kerajaan hanya menangguhkan isu penting ke suatu masa dan konteks yang lain, biarpun masa dan konteks semakin berkembang secara negatif dalam isu ini.
Kemelut The Herald juga harus dilihat dalam konteks penumpuan di Borneo. Krisis yang dihadapi ini juga berpunca akibat kepupusan bahasa ibunda suku kaum di Borneo dan proses peminjaman istilah tanpa panduan.

Ini menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar kepada bahasa ilmu dan rujukan teks umum.
Perkara ini perlu dikaji. Di Borneo, biarpun wujud Bible dalam bahasa Orang Asal seperti bahasa Iban - yang menggunakan ‘Bungsu' merujuk kepada tuhan - namun ada mazhab mazhab tertentu yang memilih menggunakan istilah ‘Allah'. 

Sehingga hari ini tiada laporan atau kajian terperinci berhubung sebab dan permasalahan suku kaum Iban.
Perkara ini juga berlaku kerana ketiadaan struktur pemantauan dan institusi penguatkuasaan dan pencegahan konflik, dalam erti kata dakwah dan hubungan antara agama serta kepentingan masing masing.
Pertembungan liberal-konservatif, bukan agama
Isu The Herald adalah isu yang serius. Ia perlu pendekatan jangka panjang, transformasi atau reformasi struktur pentadbiran dalam persoalan bahasa, budaya dan agama. 

Pada Mac 2013, The World Evangelical Alliance (WEA), satu gabungan mazhab Kristian menerbitkan laporan mengenai isu terjemahan "Son of God" dan "God the Father" dalam konteks dunia Islam. 

Laporan tersebut bukan hanya melihat konteks setempat tetapi juga maksud asal dan salah faham bahawa tuhan mempunyai hubungan dengan Mary dan mempunyai seorang anak bernama Jesus.

Berlaku berikutan kemelut fahaman ini di kalangan orang Islam dan dalam masa yang sama juga penganut Kristian. 

Kedua, pihak kerajaan juga perlu mengambil kira perkara akar dalam penggunaan istilah Muslim sepreti ‘Allah' dalam Bible. 

Program memperkasakan bahasa ibunda di Borneo sebagai bahasa ilmu dan teks serta pembentukan institusi penguatkuasaan seperti majlis antara agama dapat membantu pihak berkenaan mencari penyelesaian seperti yang berlaku dalam Kristian Evangelical. 

Proses ini dapat membantu penduduk Borneo mengaplikasi bahasa asal mereka ke teks agama dan Bible dengan perlindungan sewajarnya kepada agama animisme Orang Asal serta dakwah dengan terpimpin dengan persetujuan semua pihak.
Penguatkuasaan dan tindakan mahkamah tanpa pendidikan umum dan proses dialog dan advokasi untuk mengenal pasti perkara akar menjadi penyebab dan cadangan penyelesaian hanya akan mencetus kemelut politik agama. 

Rata-rata, kesemua agama ingin melindungi pengikut mereka dan kesucian istilah teks agama mereka.
Pihak Muslim juga mempunyai hak yang sama. 

Biarpun dari aspek prinsip hak dan kebebasan, kawalan agama dipersetujui dunia, namun penguatkuasaan undang-undang adalah tidak wajar memandangkan sensitiviti dan kerisauan yang tidak terpimpin. 

Regulasi budaya dan transformasi penganut itu sendiri dengan kepimpinan dan bantuan kerajaan harus menjadi perkara pokok.
Penyelesaian kepada kes ini terkandung dalam agama masing masing. Pedoman dan pengajaran dari kepimpinan Nabi Muhammad SAW di Madinah dan Mekah melalui perjanjian dan perbincangan boleh diaplikasi menjadi asas sebelum pengkuatkuasaan dijalankan. 

Begitu juga dengan pihak Kristian, terutamanya Katolik, yang terkenal dengan reformasi serta kepimpinan yang menerima adoptasi setempat dan mengamalkan kebebasan untuk mengkaji dan menyunting teks mereka dalam konteks Malaysia yang majmuk.
Kewujudan majlis antara agama di Borneo juga bakal menyelesaikan kontroversi dakwah dalam erti kata kebebasan agama sebenar untuk penganut agama pilihan masing-masing mengikut lunas undang-undang tanpa eksploitasi dan paksaan.
Kontroversi The Herald dan istilah ‘Allah' dalam Bible di Borneo harus dilihat sebagai isu negara dan bukan politik.

Pemimpin-pemimpin kita harus bertanggungjawab dalam mengurus isu ini dan mengelakkan provokasi dan spekulasi kerana rakyat mengundi untuk seorang pemimpin dan bukan pengulas dan penceramah semata mata.
Rakyat juga harus melihat kemelut ini sebagai pertembungan dua institusi dan aliran politik liberal dan konservatif dan bukan sebagai satu pertembungan agama. 

Kebebasan agama tidak hanya terletak dalam pemahaman teks dan istilah tetapi ketuhanan mengikut agama masing masing. 

Namun, jika kebebasan kita ini bakal menyinggung jiran kita dan mencetus perbalahan, kita mempunyai tanggung jawab untuk mencari penyelesaian secara aman dan dengan tolak ansur.

Penyelesaian kemelut politik dalam isu istilah ‘Allah' ini harus ditangani secara demokratik dan berlandaskan prinsip prinsip hak asasi manusia.

K SHAN Pengerusi Institut Kebangsaan Intergriti Pilihan Raya dan Demokrasi (NIEI) dan aktivis sosial.