"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Ketua Gereja KL gesa perpaduan dalam kemajmukan

OLEH JENNIFER GOMEZ

December 06, 2013 The Malaysian Insider
Gereja Katolik akan terus menghormati semua kepercayaan dan mengatasi ketaksuban agama melalui asas beragama, kata Ketua Biskop Kuala Lumpur Tan Sri Murphy Pakiam (gambar).
Pakiam memetik kenyataan pemimpin Katolik dunia Paus Francis yang berkata keamanan tidak timbul daripada rundingan bersama tetapi daripada kepercayaan bahawa perpaduan dan semangat ketuhanan yang mengharmonikan kepelbagaian.
“Tuhan tidak menganjurkan penyatuan agama tetapi penggantungan yang jelas terhadap identiti agama dan penerimaan pluralisme yang sihat,” katanya memetik kenyataan Paus.

Ketika bukan Islam tidak dibenarkan menyampaikan dakwahnya kepada orang Islam, beberapa ahli Umno berucap di perhimpunan parti itu meminta Perlembagaan Persekutuan mengehadkan agama Islam hanya kepada pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah berikutan pengharaman Syiah yang didakwa sesat.
Ketika menyeru penganut Katolik menjauhi ketaksuban, ketua Biskop itu berkata: “Dalam masyarakat, akan ada mereka yang fanatik terhadap agama dan membuat dakwaan menyakitkan.
“Saya menggesa penganut Katolik berdoa kepada tuhan bagi membuka minda dan hati individu seperti ini,” katanya dalam ucapan di Konvensyen Keamanan Global 2013.
Pakiam berkata gereja Katolik menggesa penganutnya bagi mengamalkan kerohanian dan moral yang baik serta nilai sosio-budaya melalui dialog dan kerjasama dengan pengikut agama lain.
Katanya, gereja turut mengutuk diskriminasi atau ancaman kepada masyarakat disebabkan kaum, warna kulit, kelas dan agama.
Dalam menganjurkan perpaduan, Pakiam menggesa penganut Katolik meneruskan tradisi rumah terbuka bagi menyuburkan budaya kunjung mengunjung semasa hari perayaan berbanding berkelah bersama keluarga disebabkan cuti umum.
Beliau turut menggalakkan lawatan ke rumah warga emas dan mereka yang memerlukan: “Saya gembira mendapat tahu seorang wanita melawat seorang pesakit angin ahmar Melayu setiap minggu dan melakukan kerja khidmat di sana. Inilah contoh akhlak terbaik bagi menganjurkan perpaduan”.
Ketua Biskop itu turut meminta komitmen masyarakat untuk mengamalkan keharmonian dan kasih sayang menerusi ajaran agama.
“Semua agama tuhan tidak kira gelaran yang dipanggil seperti maha pencipta, Shan Ti, Brahman, Maha Guru dan Allah Maha Kuasa semuanya menganjurkan hubungan persaudaraan,” katanya.
Gereja Katolik menjadi tumpuan selepas cabaran mereka terhadap larangan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan mingguannya, Herald.
Pada 2009, Herald memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi bagi mencabar arahan menteri dalam negeri melarang akhbar mingguan itu menggunakan kalimah Allah.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lau Bee Lan membatalkan arahan menteri dalam negeri mendakwa larangan itu bercanggah dengan hak penerbit seperti mana termaktub dalam Perlembagaan.
Putrajaya mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu dan pada 14 Oktober tiga panel yang diketuai Datuk Seri Mohamed Apandi Ali membenarkan rayuan itu dengan alasan terdapat arahan Kementerian Dalam Negeri pada 1986 melarang penerbitan bukan Islam menggunakan empat kalimah iaitu Allah, Kaabah, solat dan Baitullah.
Apandi dalam penghakimannya berkata sebab larangan itu bagi melindungi kesucian Islam dan mencegah kekeliruan di kalangan orang Islam.
Keputusan itu menimbulkan bantahan di kalangan penganut Kristian dan bukan Islam di Semenanjung dan Malaysia Timur.
Semalam, Putrajaya bersama tujuh pertubuhan Islam berkata mereka membantah gereja Katolik membuat semakan keputusan Mahkamah Rayuan.
Lapan responden itu mahu keputusan Mahkamah Rayuan dikekalkan dan mendakwa tidak berbaloi sekiranya gereja membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.
Timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Nor Aziati Jaafar kemudian menetapkan tarikh perbicaraan semula pada 24 Februari. – 6 Disember, 2013