"MAAF YA.........UNTUK DIKALANGAN BUKAN ISLAM SAHAJA"......

Keputusan Mahkamah Rayuan di luar kebiasaan, kata Majlis Peguam

Keputusan Mahkamah Rayuan di luar kebiasaan, kata Majlis Peguam
Keputusan Mahkamah Rayuan di luar kebiasaan, kata Majlis Peguam

Majlis Peguam memandang serius keputusan Mahkamah Rayuan tidak membenarkan akhbar mingguan Katolik, Herald (gambar) menggunakan kalimah Allah dalam menafsirkan status Islam dan agama lain dalam Perlembagaan Persekutuan.
Presidennya, Christopher Leong, berkata keputusan mahkamah menerusi carian Internet dan membuat kesimpulan kalimah tersebut bukan perkara asas dalam kepercayaan Kristian boleh dipersoalkan.
“Mahkamah mendapati perkataan ‘dengan aman dan harmoni’ dalam Artikel 3 (1) bagi melindungi kesucian Islam sebagai agama Persekutuan dan melindunginya daripada ancaman adalah di luar kebiasaan.
“Frasa itu merujuk kepada hak penganut agama lain bebas mengamalkan kepercayaan mereka dan tidak diganggu oleh pihak lain.
“Keputusan mahkamah yang menyatakan jika Herald menggunakan kalimah Allah akan menimbulkan kekeliruan kepada umat Islam hanya akan menafikan hak penganut agama lain,” katanya dalam satu kenyataan malam semalam.
Leong berkata, hakim seharusnya memberikan cadangan untuk mengatasi isu tersebut seperti menyatakan langkah bagi mengelak kekeliruan berbanding menafikan hak penganut agama lain.
Katanya, keputusan mahkamah yang melihat jika kalimah itu digunakan akan menggugat keharmonian kaum adalah sesuatu yang tidak boleh diterima pakai.
“Bagaimana penganut agama bukan Islam mahu menerimanya apabila hak kebebasan beragama dinafikan dan keputusan didasari dengan pihak yang akan terkeliru.
“Sukar untuk difahami bagaimana kita boleh menentukan eksklusifnya sesuatu perkataan itu sedangkan kita tiada hak ke atasnya?
“Kami menuntut satu perbicaraan yang matang dan hak penerbit Herald untuk mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan tanpa sebarang gangguan dan ancaman,” katanya.
Mahkamah Rayuan dalam keputusan pada Isnin sebulat suara menghalang gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald sebagai rujukan kepada Tuhan bagi agama Kristian.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata, ia dianggap dapatan mahkamah bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campur tangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.
Isu kalimah Allah bermula pada awal 2009 apabila KDN membatalkan permit akhbar Herald menggunakan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan.
Tindakan tersebut menyebabkan gereja mengemukakan saman kepada kerajaan kerana melanggar hak dalam Perlembagaan.
Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan semakan keputusan dan membatalkan pengharaman oleh KDN untuk menggunakan kalimah Allah oleh Herald.
Hakim turut menjelaskan gereja mempunyai hak dalam Perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam akhbarnya kerana agama selain Islam boleh mengamalkannya secara aman dan harmoni.
Katanya, meskipun Islam adalah agama Persekutuan, ia tidak memberi kuasa kepada kerajaan menghalang gereja menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. – 17 Oktober, 2013.